Isu air: Putrajaya-Singapura setuju selesai cara damai

Putrajaya mencari penyelesaian secara damai berhubung isu air dengan Singapura, selain menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Linkedua. (Gambar AFP)

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perjanjian air adalah antara isu yang dibincangkan Mahathir dengan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9, hari ini.

Malaysia dan Singapura terikat di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962. Bagi Malaysia, menyelesaikan isu yang lama tertangguh berkaitan semakan semula harga air merupakan satu keutamaan.

“Kami mengadakan perundingan yang aktif berkaitan semakan semula itu pada lewat tahun 90-an dan 2000,” kata Mahathir pada sidang media yang penuh sesak, dengan turut dihadiri Lee, selepas pemukiman itu.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Mahathir berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari air mentah dari Sungai Johor pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Sementara itu, Lee berkata menjadi matlamat kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam memastikan bekalan air yang lestari kepada kedua-dua pihak, yang akan mengurangkan kemungkinan timbulnya konflik di masa depan.

Beliau bagaimanapun membangkitkan kebimbangan Singapura berhubung pencemaran air di sungai Johor baru-baru ini dan kesan jangka panjangnya.

Menurut Lee, baru minggu lepas, kerja air oleh Lembaga Perbekalan Awam (PUB) Singapura di Kota Tinggi terpaksa ditutup disebabkan paras ammonia yang tinggi dan sumber itu dikesan berpunca daripada kilang minyak sawit di Sedenak, Johor.

Beliau berkata jika sungai Johor mengalami insiden seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim baru-baru ini, ia “akan menjadi satu bencana”.

Dilaporkan beribu-ribu orang terpaksa dirawat hospital susulan kes pencemaran di Sungai Kim Kim yang berlaku awal bulan lepas.

Lee berkata sungguhpun Singapura berpendapat Malaysia kehilangan haknya untuk menyemak semula harga di bawah perjanjian itu, tetapi kedua-dua pemimpin bersetuju Peguam Negara (AG) masing-masing akan mengadakan perbincangan pada November ini untuk memahami kedudukan undang-undang kedua-dua negara berhubung hak untuk semakan semula itu.

Mengenai hasil jangka panjang, Lee berkata Johor membina loji air di sungai Johor di huluan kerja air PUB di Kota Tinggi, dan gabungan jumlah yang dikeluarkan oleh loji ini mungkin melebihi hasil mampan sungai.

“Kita perlu mengkaji bagaimana untuk memenuhi keperluan air Johor dan Singapura bagi perkara lain dalam Perjanjian Air. Kami juga bersetuju kedua-dua AG kita perlu meneruskan dialog dan saling memahami perspektif serta kepentingan masing-masing,” katanya.

Selesai lalu lintas sempadan Malaysia-Singapura

Mahathir berkata menyelesaikan kesesakan lalu lintas di pintu masuk Malaysia-Singapura di Tambak Johor dan Linkedua juga menjadi keutamaan bagi Malaysia.

Beliau berkata isu itu terus menjadi masalah besar bagi pengguna yang berulang-alik dari Malaysia dan Singapura.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 250,000 hingga 300,000 orang yang menyeberangi tambak ini pada setiap hari. Menyelesaikan kesesakan itu menjadi keutamaan bagi Malaysia,” katanya.

Mahathir berkata Malaysia dan Singapura komited untuk menangani isu itu dan akan terus meneroka inisiatif baru bagi menanganinya.

“Ini termasuk menambah baik infrastruktur fizikal, menyemak semula dasar dan peraturan antara sempadan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata Mahathir menarik perhatian bahawa Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) tidak akan menyelesaikan masalah bagi penunggang motosikal yang menyeberangi sempadan Singapura-Malaysia, justeru terdapat keperluan untuk memperluaskan kapasiti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua pihak.

“Singapura merancang untuk terus memperluaskan CIQ kami dan perkara ini akan mengambil sedikit masa tetapi pada akhirnya, kami akan mengadakan perancangan yang signifikan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.