Khaled: Tindakan Osman letak jawatan bertanggungjawab, harus dihormati

Khaled Nordin. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Khaled Nordin berkata peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor tindakan bertanggungjawab yang harus dihormati, selepas kedudukan kerajaan negeri berada dalam keadaan sangat rapuh dan tidak memberangsangkan sejak 11 bulan lepas.

Bekas menteri besar berkata, Johor memerlukan kepimpinan tertinggi yang bukan sekadar berwibawa tetapi mahir mentadbir dan mempunyai visi jelas bagi memajukan negeri dan rakyatnya.

“Kedudukan Johor telah menyebabkan defisit kepercayaan terhadap kerajaan negeri dan institusi di bawahnya membesar dan meningkat dengan drastik sekali.

“Banyak sekali janji dalam manifesto dan pelbagai agenda rakyat gagal dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Khaled, beliau mahu menteri besar Johor baru melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

“Saya berharap beliau benar-benar boleh menjadi teladan dalam pembawaan dan amanah serta cekap dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

Pada masa yang sama, Khaled berjanji Umno akan terus memainkan peranan semak dan imbang sebagai pembangkang yang berwibawa dan berkesan demi kebajikan serta kesejahteraan rakyat Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Osman sudah meletakkan jawatan berkuatkuasa semalam.

Perkembangan ini menyusuli desas-desus mengenai penukaran menteri besar Johor yang mengiringi pertemuannya dengan Mahathir semalam.

Mahathir berkata kerajaan mempunyai 3 hingga 4 calon untuk mengisi jawatan menteri besar.

“Ikut perjanjian Pakatan Harapan, menteri besar Johor daripada PPBM,” katanya.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan.

Tunku Ismail mengingatkan kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan.

Osman dipilih menjadi menteri besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018.