Laporan penuh kewangan LTAT didedah Jun atau Julai, kata Mat Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata laporan penuh kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tahun lepas yang didakwa satu pembohongan akan didedahkan pada Jun atau Julai ini.

Beliau berkata pihaknya terpaksa menangguhkan laporan kewangan itu dari Mac disebabkan ia sedang diaudit.

“Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed akan buat sidang media pada Khamis ini.

“Tetapi bukan laporan penuh, hanya jawapan pendek,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, Mohamad membetulkan laporan media yang memetik beliau sebagai berkata laporan audit LTAT tahun lepas adalah satu pembohongan kerana tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Beliau sebenarnya memaksudkan laporan kewangan LTAT, bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan.

Mohamad berkata buat masa ini, beliau belum memutuskan tindakan yang akan diambil dari laporan yang tidak tepat didedahkan sebelum ini.

“Tetapi kita akan umumkan,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Mohamad, dalam satu ceramah membantu kempen calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau berkata, audit yang diisytihar pada 2018 adalah satu pembohongan dan menjangka satu laporan audit khas LTAT akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Audit yang diisytihar pada 2018 adalah bohong. Siapa dalam Tabung Angkatan Tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina,” katanya dalam ceramah di Kampung Mambau.

Pada 30 Mac, beliau dilapor berkata, dividen LTAT belum diumumkan kerana terdapat banyak akaun yang tidak menunjukkan kedudukan kewangan sebenar lembaga itu bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Katanya, pengumuman itu akan mengambil masa kerana ada banyak perkara yang ditegur Jabatan Audit Negara secara serius mengenai keuntungan sebenar yang bermasalah.

“Jadi, kami perlu membuat semakan terlebih dahulu. Selain itu, kementerian saya juga antara kementerian yang disiasat bawah Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang,” katanya menurut laporan itu.