Levi pelepasan tak jejas kedatangan pelancong, kata menteri

Menerusi levi pelepasan, seseorang yang mahu keluar negara akan dikenakan RM20 jika menuju ke negara Asean dan RM40 jika ke negara lain.

KUALA LUMPUR: Levi pelepasan bagi semua penumpang udara keluar negara yang akan dilaksanakan mulai Jun ini tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata pengenalan cukai seumpama itu telah dilaksanakan di kebanyakan negara luar.

“Kalau kita tidak mahu pungut cukai sebab kita hendak pelancong datang, rugi lah, sebab duit itu untuk pembangunan negara dan rakyat.

“Mungkin dia tak beri kesan kepada pelancong datang kerana seluruh negara di dunia ini pun memang ada cukai dan tak terjejas juga,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, Rang Undang-undang (RUU) untuk perkenalkan levi pelepasan dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah.

Dengan levi pelepasan ini, seseorang yang mahu keluar negara akan dikenakan RM20 jika menuju ke negara Asean dan RM40 jika ke negara lain, dan menteri boleh menetapkan kadar levi itu.

Ia juga menyatakan menteri boleh mengenakan caj yang berbeza-beza dan boleh meminda kadar levi itu.

RUU itu mencadangkan mana-mana orang yang tidak membayar levi apabila meninggalkan Malaysia sudah melakukan kesalahan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya.

Ia juga menyatakan mana-mana yang mengasari, menghalang, mengancam atau mencabul anggota-anggota kastam yang menjalankan tugas-tugasnya bawah akta itu, atau gagal membantu mana-mana anggota-anggota kastam, boleh dikenakan penjara maksimum 3 tahun, atau denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya.