Mahkamah arah atlet taekwondo mohon maaf pada warga emas

Atlet taekwondo kebangsaan, Nur Dhia Liyana Shaharuddin.

KUALA LUMPUR: Atlet taekwondo kebangsaan, Nur Dhia Liyana Shaharuddin hari ini diperintah memohon maaf kepada seorang warga emas kelainan upaya, yang memenangi saman berhubung dakwaan diserang dan ditendang di kaki oleh atlet wanita itu di stesen LRT Putra Heights 2 tahun lepas.

Peguam S Arunan, yang mewakili Placid P Rodriguez, 71, berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Lalilatul Zuraida Harron @ Harun mengarahkan Dhia, 25, memohon maaf secara bertulis yang akan diterbitkan di media cetak dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Arunan berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan saman difailkan Rodriguez yang separa buta dan separa pekak, selaku plaintif pada 6 Disember 2017 terhadap Dhia selaku defendan.

“Mahkamah turut memerintahkan atlet berkenaan membayar ganti rugi am RM1,000 dan ganti rugi khas RM88 serta kos RM1,000 kepada plaintif,” kata peguam itu selepas keputusan kes saman dalam kamar hakim hari ini.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 6 Julai 2017 beliau pulang dari kerja menaiki LRT menuju ke Putra Heights dan setibanya di stesen berkenaan, beliau membenarkan penumpang lain turun terlebih daripada LRT tersebut.

Plaintif bertindak sedemikian kerana mahu elak kesesakan yang boleh menyebabkannya tertolak.

Apabila kebanyakan penumpang LRT turun, beliau mula berjalan keluar dari LRT berpandukan garisan kuning di platform stesen.

Dakwa plaintif, ketika beliau berjalan di platform itu, tiba-tiba beliau ditolak oleh defendan, dan beliau yang ketika itu memakai alat bantuan pendengaran, terdengar suara perempuan memarahinya.

Plaintif mendakwa defendan juga melakukan serangan dan serang sentuh sebanyak 3 kali di kaki kiri dan 2 kali di kaki kanannya serta melemparkan kata-kata dan jeritan yang memalukan di khalayak ramai.

Dakwa plaintif, beliau merayu agar defendan berhenti menyerangnya namun rayuan itu tidak diendahkan oleh defendan yang terus-menerus menyerang plaintif tanpa rasa belas.

Plaintif berkata terdapat satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di LRT Putra Heights yang menunjukkan dengan jelas kejadian berkenaan.

Akibat perbuatan defendan, plaintif alami kesakitan dan tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Sementara itu, Arunan memberitahu pemberita saman itu difailkan bukan bertujuan untuk menuntut wang semata-mata tetapi lebih kepada menuntut keadilan atas apa yang terjadi.

“Apa yang lebih penting, defendan perlu memohon maaf kepada anak guam saya,” katanya.

Prosiding hari ini turut dihadiri Rodriguez, yang memegang tongkat dengan ditemani ahli keluarga.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskan Dhia Liyana atas pertuduhan mencederakan Rodriguez selepas representasi untuk menggugurkan kes diterima.