Najib pertahan pelaburan Felda dalam Eagle High

PETALING JAYA: Najib Razak pertahankan pelaburan Felda dalam syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TBK (EHP), dan mendesak kerajaan mendedahkan perjanjian yang ditandatangani kedua-dua syarikat itu.

Kenyataan ini timbul selepas Felda membuat laporan polis semalam, mendesak ia ditipu bekas perdana menteri itu supaya melabur AS$505 juta (RM2.3 bilion) dalam EHP, milik ahli perniagaan Peter Sondakh, yang dikatakan rakan karibnya.

Najib berkata dia menyeru kerajaan mendedahkan “put option” (pilihan) dalam perjanjian itu sejak awal Februari lagi, tetapi Putrajaya membisu.

Najib menjelaskan “put option” itu membolehkan Felda menjual balik 37$ sahamnya kepada EHP pada harga belian asal dengan caj faedah tahunan 6% ditanggung EHP.

“Dalam erti kata lain, kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semua wang yang kita bayar bersama dengan faedah 6% setiap tahun.

“Wang yang kita bayar dahulu juga dipinjam melalui bon dengan kaedah faedah 3.85%,” katanya di Facebook.

Ini bermakna, jika EHP berjaya dan harga sawit memulih, pelaburan ini akan untung lebih banyak, katanya.

“Sebaliknya, kerajaan masih untung jika kita jual balik kerana faedah yang kita kenakan kepada mereka adalah lebih tinggi dari kos hutang kita,” katanya.

Maka, wang rakyat tetap terpelihara dan kerajaan tidak akan rugi, katanya lagi.

Najib berkata perkara ini menyangkal dakwaan Felda akan rugi membeli EHP.

Beliau berkata Pakatan Harapan perlu henti menipu rakyat dengan memainkan propaganda untuk menyerangnya, dan mendesak kerajaan mendedahkan kandungan perjanjian antara Felda dan EHP.

“Mengaku sahaja sebab utama Felda mengalami kerugian besar sekarang ialah kerana harga sawit jatuh sehingga di bawah kos pengeluaran selepas PRU14,” katanya.

Dalam laporannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Pengarah Besar Felda, Othman Omar berkata wang dibayar untuk memperoleh 37% saham dalam EHP adalah 344% lebih daripada nilai sebenar iaitu AS$114 juta.

EHP sebahagian daripada Kumpulan Rajawali milik Sondakh.

Menurut Othman, Felda mengambil pinjaman RM4.8 bilion untuk membiayai perjanjian daripada GovCo Holdings Bhd (GovCo), anak syarikat Kementerian Kewangan yang ketika itu diketuai Najib.

“Hasil daripada pembelian RM2.3 bilion oleh Felda, ia mengalami kerugian apabila nilai pembelian itu merosot kepada hanya RM555 juta hingga bulan lepas,” katanya.

Katanya, pada 2015, Najib mengarahkan Felda, melalui syarikat tujuan khas, FIC Properties Sdn Bhd, melabur dalam EHP selepas menemui FGV Bhd milik Felda, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Othman berkata, perjanjian itu, yang ditandatangani pengerusi Felda ketika itu, Isa Samad, adalah “berat sebelah” dan “berisiko”, sambil menambah EHP mempunyai hutang AS$547.4 juta pada 2014 dan liabiliti AS4676.9 juta pada 2016.