Polis: Tiada tangkapan berhubung kain rentang provokasi

Kempen PRK DUN Rantau sebelum ini dicemari dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang kain rentang provokasi terhadap calon PH, S Streram.

SEREMBAN: Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berkaitan isu pemasangan kain rentang provokasi yang mengandungi ungkapan berunsur perkauman semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK DUN Rantau, Ahmad Jamaludin berkata pihaknya setakat ini hanya mengambil keterangan daripada saksi terlibat.

“Kita terima 1 laporan yang dibuat oleh ‘pihak terganggu’ dengan keadaan itu manakala 3 laporan diterima bagi menafikan penglibatan dalam hal itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Rantau, hari ini.

Kempen PRK DUN Rantau sebelum ini dicemari dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memasang kain rentang yang mengandungi ayat berbentuk provokasi terhadap calon Pakatan Harapan, Dr S Streram.

Sementara itu beliau berkata setakat semalam, pihaknya menerima 73 laporan dan membuka 15 kertas siasatan di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan sepanjang kempen PRK berlangsung, namun tiada kesalahan serius dilaporkan berlaku.

“Manakala 238 permit ceramah diterima dan diluluskan setakat ini,” katanya.

Mengenai hari pengundian pada Sabtu ini, beliau berkata sebanyak 1,100 pegawai dan anggota dari seluruh negeri akan ditugaskan di semua pusat mengundi dan penjumlahan undi bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak dingini berlaku.

Beliau turut menasihati pengundi turun awal pada hari pengundian bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, selain meminta penyokong tidak melakukan sebarang provokasi pada hari berkenaan.

Proses pengundian awal bermula 8 pagi ini di 2 pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau.

Ia membabitkan seramai 74 anggota tentera dan pasangan yang akan membuat pengundian di PU Sendayan serta 36 anggota polis di Balai Polis Rantau.

PRK itu menyaksikan pertembungan 4 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan serta 2 calon Bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama 3 penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

caption: (kain rentang provokasi stori sebelum ni)