Projek solar: Rosmah didakwa esok

Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor akan didakwa esok berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata badan itu mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Rosmah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.

“Rosmah bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 6(A)(a) Akta SPRM 2009,” kata SPRM menerusi satu kenyataan.

Rosmah sekali lagi dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM, tengahari tadi.

“Rosmah dipanggil memberikan keterangan ekoran wujudnya penemuan baru terhadap siasatan kes berkenaan,” kata sumber memetik laporan media.

Ini adalah kali ke-2 Rosmah dipanggil SPRM berhubung dakwaan melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak.

Pada 15 November lalu, Rosmah bersama bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor didakwa menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Manakala Rizal pula berdepan 4 pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin.