Putrajaya bentang pindaan Akta MKN

Majlis Keselamatan Negara bertanggungjawab pertahan kedaulatan negara, pengurusan krisis dan bencana.

KUALA LUMPUR: Putrajaya membentangkan pindaan kepada Akta Majlis Keselamatan Negara di Dewan Rakyat, yang akan menyaksikan kuasa-kuasa perdana menteri digugurkan dan hukuman lebih berat bawah peruntukan sedia ada.

Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin.

Antara lain, ia mengusulkan kuasa-kuasa mengisytihar zon keselamatan dipindahkan daripada perdana menteri kepada Agong atas nasihat MKN.

Bagaimanapun, perdana menteri kekal sebagai pengerusi MKN.

Rang undang-undang itu juga mengusulkan pengarah operasi MKN boleh, berkaitan dengan kawasan keselamatan, meminta individu atau entiti, untuk memberi maklumat bagi kepentingan keselamatan negara.

Katanya, individual yang gagal mematuhi permintaan begitu boleh dikenakan penjara maksimum 5 tahun, denda RM100,000 atau kedua-dua sekali, sementara entiti boleh didenda hingga RM200,000.

Rang undang-undang itu juga mengusulkan hukuman lebih berat terhadap mereka yang membocorkan maklumat atau dokumen berhubung MKN, atau mengenai hal ehwal MKN, daripada maksimum 2 tahun penjara kepada 5 tahun.

MKN mempunyai 3 fungsi utama: mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan strategik, pengurusan krisis dan bencana, dan pengurusan darat, maritim dan udara sempadan.

Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan akta tersebut pada pilihan raya umum ke-14 Mei lalu.