Rakyat Malaysia diculik Abu Sayyaf meninggal dunia

Jari Abdullah. (Gambar Facebook)

SANDAKAN: Rakyat Malaysia yang diculik di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Disember lalu, Jari Abdullah, meninggal dunia di Hospital Zamboanga, Filipina hari ini.

Khamis lalu, Jari terkena tembakan oleh anggota Abu Sayyaf, semasa cuba melarikan diri selepas pertempuran antara kumpulan penjenayah rentas-sempadan itu dengan tentera Filipina di Sulu.

Isteri Jari, Nadin Junianti Najiri, 25, berkata perkara itu disampaikan sendiri oleh ibu mertuanya yang kini berada di Zamboanga.

“Petang semalam, ibu mertua bersama ipar ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Zamboanga bagi melihat keadaan suami dan awal pagi tadi antara pukul 2 hingga 3 pagi, ibu mertua memberitahu suami saya sudah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama.

Nadin berkata hanya itu yang boleh dikongsi kerana tiada maklumat terkini berkaitan pergerakan membawa balik jenazah suaminya.

“Saya pun masih tunggu panggilan mereka (ibu mertua) bergerak mahu pergi sini, mereka pun tidak pasti bila balik (bergerak), cuma sekarang mereka sedang berurusan (proses penghantaran jenazah) dan saya pun bingung,” katanya lagi.

Nadin redha dengan pemergian suaminya dan kini hanya mahu memberi fokus kepada 3 anaknya yang berumur antara setahun hingga 7 tahun.

“Sebelum suami pergi (diculik) dia ingatkan saya untuk jaga anak, mengurus sekolah anak-anak, suami mahu saya besarkan anak-anak dengan pendidikan.

“Saya pun tidak sangka, itu hari terakhir saya jumpa dia dan itu pesanan terakhir dari dia,” katanya dengan nada sebak.

Mengingat kembali pesanan suaminya, Nadin berkata perkara itu menyedihkan hatinya berikutan anak perempuan berumur 7 tahun itu tidak dapat bersekolah selepas rayuan mendaftar masuk ke sekolah ditolak.

“Kini anak lelaki berumur 5 tahun sekolah tadika dan bongsu umur setahun,” katanya.

Sementara itu, Nadin berkata anak bongsu itu sering mencari dan memanggil-manggil bapanya.

“Kalau dia keluar ke pintu rumah dia panggil ‘bapa! bapa!’, saya bagi tahu saja ‘bapamu keluar bekerja’,” katanya lagi.

Selain Jari, turut diculik pada 6 Disember itu, 2 rakyat Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, serta Hariadin, 45 tahun.

Namun Jumaat lepas dalam pertempuran antara tentera dan penculik Abu Sayyaf di laut, Hariadin dilaporkan meninggal dunia manakala Heri berjaya diselamatkan.