RUU kerajaan pinda Perlembagaan tak lulus

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019, yang dikatakan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak, tidak lulus di Dewan Rakyat malam tadi.

Kerajaan gagal memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali. Sejumlah 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan itu.

Pindaan yang dicadangkan itu mahu menyenaraikan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu, manakala Sabah dan Sarawak sebagai Negeri-negeri Borneo.

Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Borneo membentuk negeri-negeri persekutuan.

Seramai 46 ahli Parlimen membahaskan rang undang-undang itu malam tadi.

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen menyeru pindaan itu dibincangkan dengan lebih meluas, menggesa kerajaan merujuk pindaan itu kepada jawatankuasa pemilih Parlimen.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mempersoalkan kenapa kerajaan nampak terburu-buru untuk meredah pindaan itu.

Nancy Shukri (GPs-Batang Sadong) berkata parti-parti pembangkang Sarawak dan Sabah tidak pernah menolak pindaan itu, tetapi meminta ia dibincangkan dengan lebih meluas.