Tabung Haji tak perlu RCI, kata Mujahid

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan Tabung Haji tidak perlu kerana kerajaan berjaya memulihkan keadaan institusi tersebut, kata Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata RCI ditubuhkan hanya jika ada yang tidak jelas atau misteri dalam TH.

“Kami telah baiki keadaan dan mengimbangi antara tanggungan dan aset untuk bayar 2018 punya hibah. Kami telah berjaya lakukan walaupun kadarnya 1.25 peratus.

“Tetapi lihatlah kejayaan kami untuk menampung ‘lubang’ RM10.2 bilion itu.

“Kita juga sudah bersihkan akaun (TH), termasuk polisi rosot nilai di mana kita telah ikut prosedur-prosedur yang ditetapkan dan tidak ada lagi ‘surprises’ seperti di mana lagi kurang dan sebagainya,” katanya di Parlimen.

Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk dari Umno, mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan institusi tersebut.

Hari ini, pembangkang menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat TH bagi menyingkap maklumat baru tentang dakwaan penyelewangan dalam lembaga berkaitan Islam itu semasa pentadbiran lepas.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangkang mahu gambaran lebih adil dan tepat memandangkan TH sudah diperiksa dan menyokong cadangan Pemuda Umno yang mahu RCI ditubuhkan.

Dalam pada itu, Mujahid berkata desakan menubuhkan RCI tersebut mungkin dibuat untuk menutup kelemahan pengurusan TH semasa kerajaan terdahulu.

Mujahid berkata permasalahan TH juga tidak perlu dibentangkan dalam PAC dan Parlimen, seperti yang dicadangkan sesetengah pihak.