Tak salah umum ubah jajaran ECRL semasa kempen PRK, kata SPR

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun (tengah) hadir di Balai Polis Rantau untuk melawat proses undi awal PRK DUN Rantau, hari ini

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata tiada kesalahan dibuat Pakatan Harapan selepas mengumumkan perubahan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) kerana Parlimen belum dibubarkan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, PH dibenarkan untuk mengumumkan perjalanan aktiviti kerajaan demi kepentingan rakyat.

Beliau bagaimanapun menasihatkan agar kerajaan tampil membuat penjelasan berhubung pengumuman itu sebagai bukan strategi untuk meraih undi menjelang PRK DUN Rantau.

Azhar berkata, dengan berbuat demikian, individu dalam kerajaan yang terlibat membuat pengumuman itu dapat membela diri.

“Jadi, terpulang kepada mereka lah,” katanya selepas melawat proses undian awal di Balai Polis Rantau melibatkan 26 anggota polis kawasan itu.

Beliau mengulas tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengatakan jajaran ECRL akan berubah dengan meletakkan Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada laluan projek tersebut.

Perkara itu turut disahkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang berkata keputusan itu dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke China hujung bulan ini bagi membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Azhar berpuas hati dengan perjalanan undian awal yang berlangsung hari ini.

Jelasnya, setakat jam 10 pagi, peratusan mengundi mencapai tahap yang memuaskan.

“Sebanyak 64% keluar mengundi setakat ini. Proses semua berjalan dengan amat lancar sekali,” katanya.

Seramai 110 daripada 118 pengundi awal bagi PRK DUN Rantau dijadualkan mengundi hari ini.

Mereka ialah 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 anggota polis yang akan mengundi di balai polis Rantau.

Katanya, baki seramai 8 pengundi terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos.