Tiada Malaysia Timur dan Barat, hanya 1 entiti, kata Dr M

Perdana menteri berkata pindaan perlembagaan bagi memenuhi keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

KUALA LUMPUR: Perdana menteri hari ini cuba meyakinkan wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak bahawa pindaan-pindaan lain pada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan akan menyusul bagi memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama kepada semua negeri.

Dr Mahathir Mohamad berkata pindaan-pindaan itu akan menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung “rakan seangkatan”, dan Malaysia hendaklah dilihat sebagai suatu entiti tanpa memisahkannya kepada Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

Beliau memberitahu Parlimen bahawa jawatankuasa khas jemaah menteri yang ditubuhkan untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam proses perbincangan dan rundingan mengenai isu-isu melibatkan pelaksanaan hak-hak Sabah dan Sarawak.

“Rundingan ini akan berterusan sehingga suatu persetujuan, konsensus atau kompromi dapat dicapai dan diterima baik oleh semua pihak,” katanya selepas Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kedua hari ini.

“Setelah cadangan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 ini dipersetujui, pindaan-pindaan lain yang wajar akan menyusul hasil daripada rundingan yang dijalankan.

“Sehubungan ini, ingin saya tegaskan Malaysia hendaklah dilihat sebagai suatu entiti tanpa memisahkannya kepada Malaysia Timur dan Malaysia Barat di mana kekayaan dan keuntungan yang diperolehi oleh Malaysia perlu diagihkan kepada semua negeri secara adil dan saksama mengikut keperluan.”

Pindaan yang dicadangkan itu mahu menyenaraikan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu, manakala Sabah dan Sarawak sebagai Negeri-negeri Borneo.

Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Borneo membentuk negeri-negeri persekutuan.

Memulihkan status Sabah dan Sarawak antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.

Mahathir, yang mempengerusikan jawatankuasa khas jemaah menteri bagi menyemak MA63 berkata, melihat kepada lanskap perundangan negara, suatu pindaan yang sesuai diperlukan bagi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan adalah suatu “dokumen hidup” yang mesti dikemaskini mengikut masa dan keperluan.

“Perlembagaan Persekutuan telah dipinda beberapa kali sejak kelahirannya dan pindaan yang terakhir sekali adalah dibuat pada tahun 2007.

“Setelah 12 tahun berlalu sejak pindaan terakhir tersebut, didapati terdapat banyak peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda agar selaras dengan kehendak dan keperluan negara.

“Namun, ia tidak dibuat oleh Kerajaan terdahulu,” katanya.

Pengerusi PH berkata sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah pertama merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, selaras dengan MA63, menerusi pindaan Perlembagaan.

“Pindaan ini dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang mahukan agar kedudukan Sabah dan Sarawak bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dikembalikan kepada kedudukan peruntukan tersebut semasa pembentukan Malaysia pada 1963, selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.