Adakah rundingan MA63 sudah berakhir, kata bekas KM selepas RUU tewas

Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee. (Bernama pic)

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee tertanya-tanya adakah kerajaan persekutuan akan menggunakan kegagalan rang undang-undang pinda Perlembagaan Persekutuan semalam untuk menamatkan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden SAPP berkata kerajaan tahu RUU itu tidak akan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen tetapi masih membentangnya.

“Adakah sekarang ini kerajaan akan mengkaji semula RUU yang tewas itu, dengan penglibatan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dan membentang semula RUU yang lebih baik?

“Atau adakah kerajaan akan guna kekalahan semalam sebagai alasan untuk membunuh MA63?

“Jika kerajaan menganggap MA63 sudah berakhir, ini bermakna RUU 2019 satu perangkap, suatu helah. Kita tengoklah nanti,” katanya ketika dihubungi.

RUU itu ditewaskan di Dewan Rakyat malam tadi selepas kerajaan hanya memperoleh 138 undi, kurang 10 undi daripada majoriti 2/3 yang diperlukan untuk meluluskan RUU itu.

Seramai 59 Ahli Parlimen berkecuali daripada mengundi.

Yong berkata beberapa ahli Parlimen mahu RUU itu dihantar kepada jawatankuasa pemilih Parlimen untuk dibincangkan secara lanjut tetapi ditolak oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan yang membentuk majoriti mudah.

“Perbincangan di jawatankuasa itu akan memberikan masa dan ruang untuk menambahbaik RUU itu. Mengapa wakil-wakil rakyat tidak diberi peluang untuk membincangkan RUU itu di peringkat jawatankuasa?

“Mengapa RUU itu diredah walaupun tahu ia akan ditewaskan? Kerajaan sedar ia tidak mempunyai sokongan 148 ahli Parlimen untuk mendapat majoriti 2/3,” katanya.

Yong juga berkata langkah menyegerakan RUU itu menyebabkan wakil-wakil rakyat tersepit.

“Kalau ahli Parlimen sokong, mereka akan dituduh mengkhianati MA63. Kalau mereka tolak, mereka akan dituduh tidak mahu ‘status setaraf’. Apakah ada niat tersembunyi dalam semua yang berlaku ini?”

Yong berkata RUU yang ditewaskan itu tidak memulihkan status Sabah dan Sarawak menurut MA63.

Beliau berkata status setaraf tidak ditemui dalam RUU itu atau dalam kenyataan penjelasan RUU itu.

Yong berkata RUU itu menyenaraikan Sabah dan Sarawak, sebagai salah satu daripada 13 negeri, seperti negeri-negeri lain.

Beliau menambah RUU itu menekankan pindaan itu sama sekali tidak mengubah fungsi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bawah konsep persekutuan.

“RUU itu tidak menyentuh Perkara 160 yang mentakrifkan ‘persekutuan’ sebagai Persekutuan Tanah Melayu yang terbentuk bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.”