Ahli Parlimen BN punca RUU Perlembagaan gagal, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata beliau berpuas hati dan menyokong RUU Persekutuan (Pindaan) 2019.

SEREMBAN: Ahli Parlimen Barisan Nasional menjadi punca Rang Undang-undang Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal mendapat majoriti undi 2/3 ketika dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, kata Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata Dewan Rakyat memerlukan 148 undi untuk melepasi majoriti 2/3 undi, namun hanya berjaya mendapatkan 138 undi, selepas ahli Parlimen dari blok pembangkang bertindak untuk berkecuali dalam proses undian RUU berkenaan.

“Umno dan BN dia tak bantah juga, tapi tak undi juga, dia berkecuali, dia bagi alasan dia, tak apalah, tetapi kita tengok undang-undang (itu) jelas, itu sahaja,” katanya berucap pada sesi ceramah Pakatan Harapan sempena pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, malam ini.

RUU berkenaan yang dibentang dan dibahaskan hampir 7 jam semalam adalah antara usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963.

Ia yang dibentang Perdana Menteri Dr Mahathir untuk bacaan kali ke-2 semalam, bagaimanapun tidak dapat diteruskan untuk bacaan seterusnya selepas undi belah bahagi yang dijalankan mendapati seramai 138 ahli Parlimen menyokong pindaan, tiada yang menolak dan 59 pula tidak mengundi.

Anwar yang juga presiden PKR menjelaskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkenaan adalah antara janji manifesto PH pada PRU14.

“Saya puas hati, saya bangun tadi sokong usul Tun Dr Mahathir bagi pihak PH kerana kita janji, dan kita tunaikan,” katanya.