Atlet silat wanita koma selepas kejang otot

Ain yang ketika ini masih terlantar. (Gambar mstar)

Atlet silat gayong wanita, Ainbatrisyia Amran baru-baru ini dilaporkan koma selepas tidak sedarkan diri ketika berehat.

Beliau yang sedang menjalani latihan untuk menyertai Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan di Kuantan pada 21 Mac didakwa mengalami kekejangan otot.

Menurut ibu Ain tiga hari sebelum kejohanan Ain tidak sedarkan diri apabila kejang otot selepas menjalani latihan pusat di Ampang.

“Sekarang ini ada sikit perubahan apabila matanya sedikit bergerak, namun masih belum sedarkan diri.

“Memang setiap hari tinggal di sini untuk menjaga Ain, terpaksa tinggalkan adik Ain di kampung bersama makciknya. Saya memang harapkan Ain akan sedar. Buntu tidak tahu apa nak fikir.

“Sejak insiden itu berlaku, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia turut mengambil berat perkembangan Ain dan memberi bantuan.

“Cuma tidak tahu selama mana akan berada di hospital ini dan terpaksa meninggalkan kerja di Pulau Pinang,” kata ibu Ain.

Ain ketika menjuarai kejohanan silat gayong dalam salah satu pertandingan yang disertainya. (Gambar mstar)

Tambahnya lagi, sebagai seorang ibu semestinya dia berasa sangat sedih dengan dugaan yang menimpa anaknya.

Malah katanya, Ain seorang yang aktif bersukan dan tidak pernah ada sebarang masalah kesihatan sebelum ini.

Sementara itu, Jurulatih Silat Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Shuhairi Chin, ada memberi bantuan dan melancarkan tabung kilat sejak 18 Mac lalu.

“Saya bawa dia sekali sahaja ketika sesi latihan pemilihan akhir untuk mewakili Pulau Pinang pada Sukma 2018 di Perak. Namun agak kecewa dia tidak terpilih pada sesi terakhir pemilihan.

“Dia bukan jenis yang mudah berputus asa. Sebabnya, ketika tidak terpilih untuk pasukan Sukma, dia mencari inisiatif lain meneruskan minatnya dalam bidang silat ini dan berjaya dipanggil untuk menyertai persatuan silat kebangsaan.

“Tetapi perkara tidak diingini berlaku ke atasnya dan semua pihak masih menunggu punca kejadian,” katanya.

Tambahnya, dia berharap agar Ain segera sembuh dan dapat kembali dalam bidang seni silat yang amat diminatinya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]