Azmin mahu tindakan terhadap Najib kerana bocor Kertas Putih Felda

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Putrajaya mahu tindakan keras diambil terhadap Najib Razak (BN-Pekan) kerana memaparkan sebahagian daripada Kertas Putih Felda sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sedar bekas perdana menteri itu membocorkan sebahagian dokumen itu di Facebook semalam, walaupun dilarang (embargo) sehingga pagi tadi.

“Pagi tadi saya kemukakan satu usul supaya tindakan keras diambil terhadap YB Pekan. Ini satu kesalahan besar, kepada Pekan mungkin kesalahan kecil,” katanya ketika menggulung ucapan Kertas Putih itu hari ini.

Azmin menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada dia sedar Najib menyiarkan dokumen itu semalam.

Fahmi berkata Najib menyalahi Peraturan Mesyuarat 95A kerana menyiarkan dokumen sebelum larangan ditarik.

Menurut peraturan itu, mendedahkan rang undang-undang atau dokumen, sama ada secara penuh atau sebahagian, sebelum masanya, adalah menghina Dewan Rakyat.