Dewan Rakyat lulus RUU levi pelepasan

Kerajaan mencadangkan levi pelepasan RM20 dan RM40 kepada semua penumpang penerbangan yang meninggalkan Malaysia mulai 1 Jun 2019 untuk menggalakkan pembangunan pelancongan dalam negara.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019, sehari selepas ia dibentangkan untuk bacaan ke-2.

Berdasarkan RUU kontroversi itu, RM20 akan dikenakan ke atas mana-mana orang yang terbang ke negara Asean dan RM40 untuk negara lain.

Ketika membentangkan Bajet 2019, Putrajaya bercadang mengenakan levi pelepasan ke atas semua penumpang penerbangan yang keluar negara mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.

Levi itu tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan lapangan terbang.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah dalam ucapan penggulungan berkata levi hanya terpakai ke atas mereka yang menaiki penerbangan keluar negara.

Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen seperti Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mahu jenis perjalanan ditetapkan bagi mengelakkan pertelingkahan dan kekeliruan.

Ketika ini, RUU itu menyatakan levi akan dikenakan ke atas orang yang keluar negara, tetapi tidak menyatakan jenis pengangkutan.

“Kita jadikan ia spesifik, iaitu perjalanan udara, supaya selepas ini ia tidak salahgunakan oleh orang lain.

“Ia juga akan mematikan tanggapan ada langkah curiga untuk mengenakan levi ke atas pejalan kaki, pengguna kereta api, pengguna kereta dan penumpang kapal,” kata Wee.

Tuan Ibrahim bersetuju, mengatakan RUU itu perlu jelas dan bukan samar-samar.

“Putrajaya mesti tetapkan yang ia hanya terpakai pada penerbangan udara.

“Sudah tentu, saya lebih suka tidak ada levi pelepasan, tetapi kami terima keperluan itu. Jadi, anda perlu jelas untuk mengelakkan sebarang persepsi salah,” kata Ibrahim.

Amiruddin (PH-Kubang Pasu) mengulangi RUU itu merangkumi skop yang luas, dan fasal-fasal proviso akan digunakan untuk beri pengecualian dan pengurangan.

Beliau bersetuju dengan kebimbangan para wakil rakyat bahawa levi itu akan memberi kesan pada rakyat yang keluar negara setiap hari untuk bekerja, seperti ke Singapura dan Brunei.

Beliau memberi jaminan menteri bertanggungjawab tidak diberi kuasa mutlak untuk beri pengecualian atau buat perubahan, kerana ia masih perlu melepasi jemaah menteri, pewartaan dan pembentangan di Dewan Rakyat.

“Jangan bimbang. Para menteri Pakatan Harapan, dengan kuasa yang diberi kepada kami, akan menggunakannya sebaik mungkin.

“Sebelum keputusan dibuat, kami akan dapatkan mandat daripada jemaah menteri. Kami tidak akan salahgunakan kuasa,” katanya.

RUU itu kemudian diluluskan di Dewan Rakyat, yang dipengerusikan Timbalan Speaker Rashid Hasnon.

RUU itu menyatakan levi dikenakan apabila seseorang keluar Malaysia, dan menteri boleh menetapkan kadar levi itu. Ia juga menyatakan menteri boleh mengenakan caj yang berbeza-beza dan boleh meminda kadar levi itu.

Kadar levi akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

RUU itu mencadangkan mana-mana orang yang tidka membayar levi apabila meninggalkan Malaysia sudah melakukan kesalahan dan sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya.

Ia juga menyatakan mana-mana yang mengasari, menghalang, mengancam atau mencabul anggota-anggota kastam yang menjalankan tugas-tugasnya bawah akta itu, atau membantu mana-mana anggota-anggota kastam, boleh dikenakan penjara maksimum 3 tahun, atau denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya.

Pengendali yang membawa penumpang bertanggungjawab untuk berdaftarkan bawah akta itu tidak kurang daripada tempoh 30 hari sebelum memulakan operasi.

Pengendali asing pula perlu melantik ejen yang akan bertindak bagi pihaknya.

Pengendali yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda maksimum RM100,000, atau penjara sehingga 1 tahun, atau kedua-duanya.