Hans Isaac dilantik pengerusi Finas

Gerald Hans Isaac dilantik sebagai pengerusi Finas yang baru berkuatkuasa 8 April 2019. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini mengumumkan pelakon Hans Isaac dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh 2 tahun berkuatkuasa Isnin lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas pemangku pengerusi sejak lebih 4 bulan lalu.

“Hans mempunyai pengalaman luas dalam bidang perfileman dan terkenal sebagai pelakon, penerbit dan pengarah filem.

“Beliau menerima pelbagai anugerah dalam industri perfileman tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hans juga pernah menjadi ahli lembaga penasihat Finas dan ahli lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

Disember lalu, KKMM mengumumkan barisan baru ahli lembaga Finas selepas pengunduran pengerusinya sebelum ini.

Selain Samsuni yang dilantik sebagai pengerusi, penasihat undang-undang, Affendy Ali Dally, dilantik sebagai timbalannya.

Turut dilantik Ketua Setiausaha KKMM, Mohd Ali Mohamad Nor dan wakil Kementerian Kewangan, Siti Juraini Jalaludin sebagai wakil kementerian.

Bagaimanapun, kementerian tidak mengumumkan ketua pengarah baru Finas, sebaliknya hanya meletakkan nama pemangku ketua pengarah, Shakib Ahmad Shakir, dan pemangku timbalan Fairul Azida Shahabudin.

Turut membarisi lembaga adalah Rashid Karim, Hasnul Hadi Samsudin, Onn Norshal Hamzah, Mohan Rao, Salwah Shukor dan Andrew Tai.

Mereka dinasihati panel yang terdiri daripada ahli-ahli yang berpengalaman dalam industri filem, iaitu Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Nasrul Suhaimin Saifuddin @ Bront Palarae, Mohamed Harun Abdul Rahman, Wee Meng Hee, Nadira Ilana, Juhaidah Joemin, Anna Har, Adrian Teh, Syafiq Yusof, Mohamad Ghazali Jeman dan Shanjhey Kumar Perumal.