Kerajaan tewas kerana tolak cadangan pembangkang, kata Annuar tentang RUU Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Annuar Musa berkata kerajaan gagal memperoleh sokongan 2/3 untuk Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 kerana Pakatan Harapan menolak cadangan pembangkang, menyebabkan mereka sepakat untuk berkecuali.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata penolakan itu atas dasar pindaan yang cuba diluluskan malam tadi tidak menepati hasrat rakyat Sabah dan Sarawak.

“Terdahulu sebelum undian secara belah bahagi, semasa menggulung perbahasan, kerajaan telah menolak semua cadangan pembangkang supaya pindaan perlembagaan dibuat secara lebih cermat, teratur dan menyeluruh,” katanya.

Annuar menjelaskan pembangkang mahu pindaan itu terlebih dahulu dirujuk kepada jawatankuasa pemilih Parlimen, dibincangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak, dan memasukkan perkatan “berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963”.

“Sebaliknya, kerajaan hanya cadang meminda Perkara 2(1), yang dianggap tidak memadai, bersifat kosmetik, dan membelakangi hasrat sebenar rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya di Facebook malam tadi.

Annuar berkata, pindaan ini kegagalan ke-3 kerajaan selepas Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom.

“Kalau di negara maju, peristiwa seperti ini sudah pasti membawa kepada peletakan jawatan atau pembubaran Parlimen,” katanya.

Terdahulu, kerajaan gagal memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali. Sejumlah 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan itu.

Pindaan yang dicadangkan itu mahu menyenaraikan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu, manakala Sabah dan Sarawak sebagai Negeri-negeri Borneo.

Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Borneo membentuk negeri-negeri persekutuan.