Merbahaya… Bukan 1 tapi 2 kanak-kanak duduk di depan tanpa memakai tali pinggang keledar

Gambar Daniel Fernandez.

Semua orang tahu adalah amat merbahaya untuk memandu dengan anak kecil berada di hadapan tanpa memakai tali pinggang keledar atau lebih teruk berada di atas pangkuan sambil memandu.

Sehubungan itu adalah amat penting untuk semua keluarga memastikan kanak-kanak sentiasa berada di tempat duduk belakang yang dilengkapi dengan kerusi khas untuk kanak-kanak dan memakai tali pinggang keledar atau sekurang-kurangnya duduk di kerusi booster.

Menurut artikel yang diterbitkan di dalam blog ‘Drive Safe and Fast – DS&F’ oleh Daniel Fernandez beliau menekankan betapa pentingnya untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan ia seharusnya menjadi keutamaan sebelum sebarang pemanduan bermula.

Namun apa yang menyedihkan ada sesetengah pemandu mengambil mudah perkara ini sehingga sanggup membahayakan nyawa anak mereka sendiri.

Daniel yang berkongsi pengalaman apabila terserempak dengan sebuah kereta tertera logo limo dan memandu sambil dua anak kecil berada di hadapan dan salah seorang berada di atas pangkuan pemandu yang mungkin bapanya meluahkan rasa sedihnya apabila ciri-ciri keselamatan ini diabaikan.

Bagi Daniel, dia faham bagaimana kehidupan seorang pemandu limo lapangan terbang yang perlu memandu 10-14 jam sehari semata-mata untuk mendapatkan wang yang cukup bagi membayar lesen limonya dan pada masa yang sama pihak pengurusan yang memiliki konsesi tersebut memperoleh keuntungan yang besar.

Sebagai pemandu limo pula perlu sentiasa berada dalam keadaan sihat kerana syarikatnya tidak menyediakan kemudahan kesihatan untuk dirinya dan keluarga.

Jadi jika sakit, sudah tentu tidak boleh memandu dan tidak boleh mendapatkan wang untuk menampung keluarga.

Malah Daniel juga faham setiap pemandu limo perlu melakukan lebih daripada 5 ‘trip’ kerana bagi 3 hingga 4 ‘trip’ awal hanyalah untuk bayar kepada pemilik konsesi Limo Lapangan Terbang.

Dan hanya selepas itu yang mungkin mengambil masa antara 3 hingga 4 jam kemudian barulah pendapatan itu adalah miliknya untuk hari itu.

Namun pemandu limo masih perlu memikirkan peruntukan untuk petrol dan makanannya untuk hari itu.

Dengan persaingan sengit diberikan oleh syarikat seperti GRAB, EzCAB dan MyCar yang menawarkan tambang yang lebih rendah sudah tentu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemandu limo ketika ini.

Malah jelas Daniel, untuk mengekalkan kereta Proton Wira yang semakin berusia dan tidak mampu memiliki kereta baru bukanlah alasan untuk anda mengabaikan keselamatan anak-anak.

Betul kata orang ‘malang tidak berbau’ dan itulah yang mungkin berlaku terhadap mana-mana kenderaan tanpa mengenal siapa pemiliknya.

Bagi Daniel, anda mungkin seorang pemandu terbaik dan sangat berhati-hati, tetapi apabila di atas jalan raya anda perlu mengambil kira pemanduan orang lain.

Bayangkan jika kereta anda dilanggar lori dari belakang dan anak anda terpelanting ke hadapan dan beg udara pula menyebabkan muka anak anda tersembam dan terhantuk sesame sendiri hingga boleh menyebabkan kecederaan yang dialami bertambah teruk.

Daniel juga membangkitkan persoalan bagaimana jika kereta anda dilanggar di bahagian sisi dan kedua-dua anak anda tercampak ke ‘dasboard’, gear dan stereng?

Kecederaan yang bakal mereka alami akan menjadi lebih teruk malah boleh membawa maut jika sebagai ibu bapa masih tidak sedar betapa pentingnya memastikan keselamatan ketika berada di dalam kereta.

Apa yang cuba disampaikan Daniel adalah bukannya untuk menimbulkan sebarang masalah sebaliknya untuk menekankan ibu bapa seperti anda seharusnya peka akan apa jua bahaya yang mungkin dihadapi jika anda terus bersikap untuk membiarkan anak anda duduk di bahagian hadapan tanpa kerusi booster atau lebih teruk tidak memakai tali pinggang keledar.

Sumber: www.dsf.my

Facebook: https://www.facebook.com/DSF-469102903133988

Instagram: https://www.instagram.com/drivesafeandfast/

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]