Muhyiddin: Nama MB diserah selepas sultan terima Osman letak jawatan

Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata Pakatan Harapan akan menyerahkan nama bakal pengganti menteri besar selepas Sultan Johor menerima peletakan jawatan Adun Kempas, Osman Sapian.

Muhyiddin berkata surat peletakan jawatan Osman diserahkan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 8 April.

“Saya berharap proses penggantian menteri besar Johor akan berlangsung dengan teratur dan sempurna agar pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau seterusnya meminta ahli-ahli parti PH, terutama PPBM agar bertenang, rapatkan saf “serta patuh dengan keputusan kepimpinan parti”.

“Adalah penting usaha memacu kemajuan Johor tidak terganggu dengan peralihan kepimpinan ini,” katanya.

Terdahulu, Sultan Johor berkata keputusan terbaik akan dibuat apabila tiba masanya nanti.

Sumber peringkat tertinggi PPBM memberitahu, Adun Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal, dijangka dinamakan sebagai menteri besar Johor.

Sahruddin mendahului nama beberapa orang lain untuk jawatan itu kerana beliau dilihat pilihan paling berwibawa.