Najib dakwa dapat hidu sejak awal PH mahu ‘serang’ Tok Mat

Najib Razak mendapat maklumat PH menyenaraikan beberapa isu untuk ‘membunuh’ karektor dan politik Mohamad Hasan ketika kempen PRK DUN Rantau.

SEREMBAN: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau dapat menghidu daripada awal taktik Pakatan Harapan untuk menjatuhkan calon Barisan Nasional DUN Rantau, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak lawan menyenaraikan beberapa isu untuk “membunuh” karakter dan politik Mohamad ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

“Jangan serang peribadi, macam Tok Mat pun dah kena serang. Saya tahu dia kena serang, saya telefon dia.

“Saya kata dia (PH) ada 9 isu nak tembak (serang) Tok Mat. Saya sudah dapat info dah, betul,” katanya dalam ceramah di Kampung Kanchong, Rantau, malam tadi.

Mohamad menjadi mangsa serangan Pakatan Harapan, antaranya melibatkan isu kekayaan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang didakwa memiliki banglo Minangkabau bernilai RM6 juta di Seremban 2.

Beliau juga dituduh memindahkan dana RM10 juta ke London pada 2009 melalui pengurup wang bagi tujuan pembelian pangsapuri.

Mohamad kemudian menafikan tuduhan tersebut mengatakan beliau tidak akan melayan tuduhan yang dianggapnya seperti “budak bodoh”.

Dalam perkembangan sama, Najib yang turun ke Rantau buat kali ke-3, berkata Mohamad tidak salah mengumpul harta kerana latar belakang anak jati Rantau itu dilihat mampu untuk memiliki kekayaan.

“Tok Mat ini orang korporat di peringkat Asia. Jadi CEO (ketua pegawai eksekutif), adalah harta sikit.
Apa salahnya dia beli 1, 2 apartment atau banglo. Tidak ada salah,” katanya.

Beliau menambah, rakyat harus membuka mata dengan kenyataan pemimpin PH sebelum ini yang mempertikaikan kemewahan anak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Anak orang lain itu harta dia berbilion-bilion. Yang cakap ini bukan saya, presiden PKR sendiri. Masa tidak baik dulu, dia serang habis-habisan. St Miguel siapa punya?” katanya.