Najib gagal lagi dapatkan dokumen tambahan perbicaraan SRC

Perbicaraan kes Najib Razak akan bersambung 15 April ini hingga 10 Mei nanti. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Najib Razak sekali lagi gagal mendapatkan perintah sekatan bagi menghalang media dan orang ramai membincangkan merit kesnya serta mendapatkan dokumen tambahan untuk menyediakan pembelaannya.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu juga gagal dalam rayuannya berhubung prosedur yang diambil peguam negara untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Panel 7 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum sebulat suara menolak 3 rayuan itu.

Sementara itu, mahkamah turut menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan surat pelantikan pendakwa ad hoc, Sulaiman Abdullah kepada pihak pembelaan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah berhubung rayuan Najib bagi mendapatkan dokumen tambahan, Hakim Idrus Harun yang merupakan seorang daripada ahli panel hakim itu, berkata Parlimen meluluskan Seksyen 51 Kanun Tata Cara Jenayah untuk mengawal apakah dokumen yang perlu dibekalkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan dan perkara ini sudah dipatuhi pihak pendakwaan.

Beliau berkata, Najib tidak berhak mendapatkan sebarang dokumen tambahan lagi di peringkat ini dan jika permohonan itu dibenarkan, ia sama seperti menyerahkan keseluruhan kertas siasatan kepada beliau.

Hakim lain dalam panel itu adalah Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah dan 3 Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Ramly Ali, Tengku Maimun Tuan Mat serta Nallini Pathmanathan.

Mahkamah Rayuan pada Mac lalu turut menolak 3 rayuan Najib.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kesnya bermula 3 April lalu dan pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan pada hari itu. Perbicaraan bersambung 15 April ini hingga 10 Mei nanti.