Operasi Lynas: 2 kumpulan berhimpun di luar Parlimen

Seramai lebih 200 peserta daripada 61 berkumpul di luar Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Seramai lebih 200 orang daripada 2 kumpulan yang menyokong dan membantah operasi Lynas berhimpun secara aman di luar bangunan Parlimen hari.

Sebahagian mereka daripada 61 NGO itu melaungkan “Selamatkan Malaysia” dan “Hentikan Lynas dari mencemarkan alam sekitar kita” sambil membawa kain rentang.

Pengerusi Selamatkan Malaysia dan Hentikan Lynas (SMHL), Tan Bun Tee berkata lesen operasi Lynas harus digantung bagi menghentikan pencemaran alam sekitar khususnya di Gebeng, Kuantan.

Beliau menyifatkan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof sebagai mengarut apabila menyokong operasi syarikat nadir bumi itu.

“Kami kesal dengan apa yang berlaku, sepatutnya kerajaan PH kena ikut janji dan keluarkan kilang yang membahayakan seperti Lynas ini.

“Kami tak mahu Lynas berada di Kuantan, siapa yang nak tinggal di sini? Kenapa Kuantan kena terima kilang seperti ini. Kerajaan PH perlu mendengar suara rakyat, sila tutup kilang ini,” katanya di luar Parlimen.

Pengerusi SMHL, Tan Bun Tee (kiri) menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Satu memorandum diserahkan kepada wakil perdana menteri iaitu Ketua Whip PH, Johari Abdul untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Antara NGO lain yang hadir ialah GreenPeace Malaysia, Himpunan Hijau, Peka Malaysia dan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia).

Selain NGO, turut kelihatan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Adun Teruntum, Sim Chon Siang.

Sim berkata, sisa radioaktif yang dihasilkan kilang Lynas sepatutnya dihantar semula ke Australia, bukan dibuang di negara ini.

“Kenapa nak buang sisa kilang itu di sini? Kita cuba menyerahkan memorandum mengenai bahaya sisa radioaktif ini kepada Mohd Redzuan, malangnya tak pernah dapat dihubungi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Peraturan dan Pematuhan Lynas, Prof Dr Ismail Bahari antara 100 penyokong Lynas yang turut hadir dalam perhimpunan itu menegaskan, syarikat tersebut menjalankan segala aktiviti secara selamat selama 6 tahun.

“Kami pekerja Lynas mengesahkan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki kami untuk mengendalikan kilang ini, selain sentiasa meletakkan keselamatan diri sendiri, rakan sekerja, komuniti dan persekitaran.

“Lynas Malaysia mematuhi segala kehendak perundangan, peraturan dan saranan seperti yang termaktub di dalam syarat lesen operasi,” katanya.