Osman jelaskan peletakan jawatan Sabtu ini

(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Osman Sapian akan menjelaskan tindakannya meletakkan jawatan sebagai menteri besar Johor pada Sabtu ini.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata penjelasan itu akan dibuat selepas beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, Osman tidak menerangkan lebih lanjut bagaimana penjelasan itu dilakukan sama ada menerusi sidang media atau kenyataan akhbar.

“Insya-Allah, 13 haribulan nanti, lepas menghadap DYMM,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau diminta menjelaskan adakah keputusan untuk meletak jawatan itu dibuat demi menjaga imej kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor sedia ada atau sebaliknya.

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan tempat Osman akan digantikan dengan orang baru berikutan terpalit pelbagai kontroversi sewaktu mentadbir kerajaan negeri.

Bagaimanapun, hanya semalam khabar angin itu disahkan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan Osman bermula Isnin.

Osman, 67, merupakan menteri besar Johor yang ke-16 dan dipercayai menteri besar Johor paling singkat berkhidmat, tidak sampai 11 bulan selepas mengangkat sumpah pada 12 Mei tahun lepas.