PM rujuk Perlembagaan, tapi perlu persetujuan sultan, Anwar jawab isu MB

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mencelah isu pemilihan menteri besar Johor yang baru, mengatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai pemilihan ketua kerajaan.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata persetujuan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga perlu dalam pelantikan menteri besar.

“Perlembagaan kita jelas iaitu orang yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

“Kita juga tahu persetujuan sultan perlu dalam pelantikan itu,” katanya di Parlimen.

Terdahulu, Mahathir bertegas parti pemerintah yang berhak melantik menteri besar Johor baru, bukannya sultan, susulan kritikan Tunku Mahkota Johor terhadap Pakatan Harapan dalam isu itu semalam.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilapor berkata, pemilihan menteri besar Johor ialah hak mutlak sultan.

“Ini adalah hal politik, sultan tiada peranan. Peranannya ialah untuk parti yang memenangi pilihan raya menentukan siapa patut mengetuai,” kata perdana menteri.

Sementara itu, Anwar menyerahkan hal memilih menter besar kepada kebijaksanaan Mahathir dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

Presiden PKR itu tidak menolak kemungkinan pemilihan menteri besar akan dibawa ke mesyuarat Pakatan Harapan.

“Selalunya ikut konvensyen. Kalau PPBM, maka PPBM lah,” katanya.