Prestasi Osman gagal di mata Istana Johor, kata Tajuddin

Tajuddin Abdul Rahman ketika menyampaikan ceramah di Kuala Sawah, Rantau malam tadi.

SEREMBAN: Seorang pemimpin Umno berkata Istana Johor tidak akan campur tangan dalam urusan pelantikan menteri besar jika negeri itu ditadbir dengan baik oleh Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berkata keputusan istana mencadangkan supaya menteri besar ditukar selepas ia menilai prestasi Osman Sapian yang gagal menerajui pentadbiran Johor.

“(Sultan campur tangan) mesti ada sebab, bukan campur tangan melulu begitu sahaja, ingat istana mereka tidak pandai, mereka cerdik juga, mereka ada hak untuk menilai prestasi menteri besar.

“Saya tidak fikir pihak istana dengan sewenangnya nak melantik atau menjatuhkan seseorang pemimpin, raja bertanggungjawab sebagai penaung kepada rakyat, sama ada negeri atau pusat.

“Kalau (istana) tengok kerajaan negeri itu merosot, tidak memenuhi aspirasi sasaran pembangunan, kebajikan rakyat, tentu mereka akan memberi pandangan dan teguran, kalau mereka tak tegur mereka pula tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ceramah di Kampung Kuala Sawah bagi membantu calon Barisan Nasional DUN Rantau, malam tadi.

Tajuddin berkata demikian mengulas kemelut menteri besar yang melanda kerajaan Johor yang menyaksikan Osman meletak jawatan selepas 11 bulan mentadbir kerajaan negeri.

Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Osman meletakkan jawatan berkuatkuasa semalam.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan arahan untuk menukar menteri besar sudah lama diberikan.

Tunku Ismail juga berharap menteri besar yang baru bukanlah “yes man” Putrajaya, dan menambah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah meneliti untuk menukar menteri besar “sejak berbulan lalu”.

Tajuddin berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mempersoalkan keputusan istana jika institusi itu mencadangkan menteri besar ditukar.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mencampuri pentadbiran PH di Johor, tetapi apa yang berlaku itu jelas membuktikan kerajaan negeri tidak stabil di mana akhirnya rakyat menjadi mangsa.

“Elok (Osman) berhenti, kelulusan pun tidak ada.

“Persepsi rakyat juga buruk kepada PH, ia menunjukkan kerajaan tidak stabil dan keyakian terhakis,” katanya.