Putrajaya akan sedia RM6.23 bilion bantu Felda

KUALA LUMPUR: Putrajaya akan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion (AS$1.52 bilion) kepada Felda, susulan satu inkuiri kerajaan ke atas syarikat itu yang menanggung kerugian dan hutang sejak sedekad lalu.

Liabiliti keseluruhan agensi itu meningkat 12 kali ganda sejak 10 tahun lalu, daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017, menurut kertas putih dikeluarkan kepada Parlimen hari ini.

Laporan itu disediakan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, selepas kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad berikrar menyiasat masalah kewangan dan dakwaan rasuah dihadapi Felda.

“Laporan itu mendapati salah urus operasi, kegagalan pengurusan pelaburan dan integriti tahap rendah sebagai punca utama aliran tunai Felda rendah dan menjejaskan program pembangunannya.”

Menurut laporan itu, Felda akan menyusun semula bayaran pokok hutangnya dan beberapa bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.98 bilion pada 2019. Baki RM9.3 bilion pinjaman akan dibayar dari 2020 hingga 2028.

September tahun lalu, pengerusi Felda dilaporkan berkata, ia akan menjual asetnya, menyusun semula pinjaman dan meningkatkan aliran tunai dalam usaha mengurangkan hutangnya hampir 20% daripada RM8.03 bilion (AS$1.93 bilion) pada pertengahan 2018 kepada RM6.5 bilion menjelang akhir tahun lalu.

Felda ditubuhkan perdana menteri ke-2 pada 1956 untuk membantu golongan miskin menceburi industri kelapa sawit. Ia kemudiannya berkembang menjadi agensi kelapa sawit dikendalikan kerajaan yang terbesar di dunia.

Masalah dihadapi Felda menyebabkan 650,000 peneroka berpendapat rendah terpaksa menanggung hutang. Peneroka ialah sumber utama undi bagi parti pemerintah dahulu yang mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Kerajaan berkata, kira-kira RM2 bilion disediakan untuk menghapuskan faedah bagi pinjaman peneroka, antara langkah lain untuk meningkatkan kecekapan ladang dan mengurangkan kos operasi.