Rosmah berdepan pertuduhan ke-20

KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor hari ini, berdepan 1 pertuduhan baru iaitu menerima suapan RM5 juta bagi membantu mendapatkan projek sistem solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah yang masuk ke kandang pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan, yang dikenakan terhadapnya sewaktu beliau menjadi isteri perdana menteri pada 2016.

Beliau dituduh menerima RM5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings, sebagai upah kerana membantu syarikat terbabit.

Ia bagi mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perenggan 16(a)(A) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bagaimanapun membenarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dengan menggunakan jamin terdahulu yang dikenakan terhadap Rosmah.

Hakim juga menetapkan 10 Mei depan sebagai sebutan semula kes, berkaitan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menggesa mahkamah menetapkan wang jaminan RM1 juta terhadap Rosmah, kerana percaya pertuduhan baru ini merupakan kesalahan serius kerana dilakukan ketika Rosmah menjadi isteri perdana menteri.

Bagaimanapun, barisan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kadir dan Jagjit Singh dalam hujah balasnya meminta pertuduhan ini disekalikan dengan 2 pertuduhan lain yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Mahkamah juga diingatkan wang jaminan bukanlah suatu hukuman yang harus dikenakan terhadap tertuduh, sebaliknya adalah suatu jaminan tertuduh ke mahkamah.

Pada 15 November lalu, Rosmah bersama bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor didakwa menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Manakala Rizal pula berdepan 4 pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin.