Rumah Negeri Sembilan lebih sesuai dengan saya, Tok Mat jawab dakwaan rumah Minang

Mohamad Hasan sempat menceritakan ciri-ciri rumah Negeri Sembilan kepada pemberita.

SEREMBAN: Mohamad Hasan berkata rumah Negeri Sembilan lebih sesuai dengannya kerana dia bukan berdarah Minangkabau, menjawab dakwaan yang mengaitkannya dengan sebuah rumah bereka bentuk Minangkabau bernilai RM6 juta di Seremban 2.

Beliau berkata perkara itu tentu diketahui oleh orang-orang yang mengenalinya.

“Rumah Negeri Sembilan ada reka bentuk tersendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan ciri-ciri rumah Negeri Sembilan dan membandingkannya dengan ciri-ciri rumah Minangkabau.

“Macam rumah saya,” katanya merujuk kepada rumah pusaka keluarganya yang terletak berdekatan.

Rumah pusaka keluarga Mohamad bercirikan rumah Negeri Sembilan.

Mohamad menyifatkan dakwaan yang mengaitkan dengan rumah mahal itu “cerita budak bodoh” yang tidak wajar dilayan.

Sementara itu, Mohamad menyatakan, beliau dihubungi bekas perdana menteri Najib Razak yang menasihatkan beliau berhati-hati dengan serangan PH.

“Banyak yang akan dikeluarkan semasa PRK ini, terutamanya di peringat akhir. Ada sudah keluar. Tapi peluru kapur sahaja,” katanya.

Najib dalam ceramahnya di Kampung Kanchong malam tadi mendakwa dia dapat menghidu taktik PH yang akan menggunakan 9 isu terhadap Mohamad.