RUU pasti lulus kalau Putrajaya dengar suara Sabah, Sarawak, kata Nancy

KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkata Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 pasti lulus di Parlimen jika kerajaan memberikan masa kepada pimpinan Sabah dan Sarawak membincangkan perkara itu.

Beliau berkata pemimpin kedua-dua negeri sudah meminta Menteri Undang-undang Liew Vui Keong menangguhkan pindaan itu kerana mereka mahu ia jadi lebih menyeluruh.

“Kami mahu ia dibawa kepada jawatankuasa pemilih Parlimen kerana ia memberi peluang kepada pemegang taruh dari Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu untuk duduk bersama dan pertimbangkan RUU itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata Liew sepatutnya mengambil kira seruan mereka kerana meminda Perlembagaan Persekutuan perlukan majoriti 2/3.

“Kami benar-benar mahu RUU itu diluluskan tetapi ia mestilah memasukkan cadangan kami, agar selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tetapi mereka hanya memikirkan kepentingan sendiri.

“Kami tak kata kami tidak akan sokong RUU itu,” katanya kepada FMT.

Usul kerajaan tewas di Dewan Rakyat malam tadi apabila pemerintah hanya mendapat 138 undi, kurang 10 undi daripada majoriti 2/3 yang diperlukan.

Seramai 59 ahli Parlimen berkecuali.

Nancy berkata pindaan pada Perkara 1(2) Perlembagaan mesti bersama pindaan pada Perkara 160(2) mengenai takrif “persekutuan”.

“Sekadar memulihkan kedudukan negeri tidak bermakna apa-apa. Ia seperti mengangkat seseorang ke kedudukan lebih tinggi dengan kuasa yang terhad,” katanya.

Nancy menuduh Liew tergesa-gesa membuat pindaan itu tanpa mengikut tatacara yang betul.

“Dia ingat dia boleh beli sokongan kami dengan makan tengah hari dan makan malam. Ini urusan yang serius. Kita bercakap mengenai pindaan pada Perlembagaan Persekutuan.

“Jika dia ada perkara serius yang mahu dibincangkan dengan kami, kita lakukan di Parlimen. Kita tak berpeluang kerana dia hanya mahu beritahu apa yang dia mahu lakukan, dan itu bukan pendekatan yang betul.”

Bagaimanapun, dengan pindaan itu atau tanpanya, Sabah dan Sarawak masih boleh tuntut hak-haknya dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Sarawak lebih berminat untuk menuntut hak-haknya dan perolehan lebih banyak untuk pembangunan rakyat dan negeri.

“Kalau Sabah tak berminat, kami berminat untuk melakukannya. Kita tak main politik dan saya berbangga kita teguh mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak.”

Presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian bersetuju dengan Nancy dan berkata RUU yang tewas itu akibat tidak pedulikan tuntutan Sarawak yang juga mahu takrif “persekutuan” dalam Perkara 160 dipinda.

Sim dalam kenyataan berkata GPS tidak menentang RUU itu dan mahu semua isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak diselsaikan, termasuk diberi sepertiga perwakilan di Parlimen dan 1/3 daripada sumber dan hasil negara.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen sangat mengecewakan rakyat Sarawak apabila bersetuju dengan perubahan “kosmetik” pada RUU itu, dan mengabaikan kegagalan kerajaan menyatakan MA63 di dalamnya.

Adun Mulu, Gerawat Gala menyuarakan sentimen yang sama dan berkata RUU itu harus dibentang semula dalam masa terdekat.

“Pindaan itu hanya ‘kosmetik’. Ada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan.”

Beliau berkata kerajaan harus berunding semula dengan pemegang-pemegang taruh Sabah dan Sarawak dan meminda undang-undang asas yang lain, terutama Perkara 160(2) Perlembagaan.