Selalu sokong TMJ tapi bukan isu lantikan MB, kata Shahidan Kassim

Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR: Shahidan Kassim berkata beliau sering menyebelahi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pelbagai isu tapi tidak sependapat dalam isu lantikan menteri besar.

Ahli Parlimen Arau itu sebaliknya bersetuju dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa istana tiada kuasa melantik menteri besar.

Katanya, raja-raja Melayu adalah raja berperlembagaan dan mempunyai kuasa dalam bidang agama sahaja.

“Saya sokong perdana menteri sebab raja berkuasa mutlak dalam bidang agama sahaja dan tak termasuk pelantikan menteri besar, lantikan perdana menteri, pengisytiharan darurat dan pembubaran Parlimen.

“Banyak benda saya setuju dengan TMJ, tapi benda ini saya bersetuju dengan perdana menteri sebab menteri besar perlu dilantik oleh parti yang mendapat sokongan majoriti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Shahidan berkata, krisis lantikan Menteri Besar Perlis seharusnya dijadikan pengajaran.

“Perlis perlu jadi rujukan sama ada pelantikan itu mengikut raja berperlembagaan atau tidak, itu boleh rujuk kemudian tapi apa yang berlaku di Johor tak boleh lantik oleh raja,” katanya.

Mahathir sebelum ini mempertahankan pendiriannya yang istana tiada kuasa mutlak dalam pelantikan menteri besar, selepas Sultan Johor meminta pihak tertentu tidak mencampuri urusan negeri itu.

“Raja berperlembagaan bukan raja berkuasa mutlak. Kalau ianya masih ada dalam undang-undang perlembagaan Johor, itu terbatal dan Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan dalam negara kita ini,” katanya.

Jawatan itu kosong susulan peletakan jawatan Osman Sapian, Isnin lalu. Osman dilantik sebagai menteri besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018.

Terdahulu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan meminta pihak tertentu berhenti bertelagah mengenai politik dan menumpukan usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan,” katanya di Facebook.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini berkata, arahan menukar menteri besar sudah lama diberikan dan kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan.

Mahathir berkata, Malaysia bukan lagi negara demokratik jika raja mempunyai kuasa mutlak untuk memilih perdana menteri dan menteri besar.

“Walaupun rakyat telah pilih parti yang berhak untuk melantik menteri besar, tetapi (jika) hak rakyat dinafikan, maka kita bukan (negara) demokrasi, kita sudah jadi negara beraja kuasa mutlak.

“Kalau itu sudah dihapuskan, maka kita tak perlu ada pilihan raya lagi.”