Streram nafi PH cuba ‘bunuh’ karakter Tok Mat

S Streram berkata fokusnya untuk menyelesaikan masalah pengundi di DUN Rantau tidak akan terganggu dengan dakwaan Najib Razak.

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram menafikan isu yang dibangkitkan parti itu sepanjang 12 hari berkempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau bertujuan membunuh karakter politik Mohamad Hasan.

Sebaliknya, pakar bius itu menegaskan dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak dalam ceramahnya semalam berhubung perkara itu, tidak berasas.

“PH mempunyai integriti dan hanya akan menyampaikan fakta kepada pengundi,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra di Kampung Nyatoh, hari ini.

Semalam, Najib yang juga bekas presiden Umno dilapor mendakwa PH melakukan serangan peribadi ke atas Mohamad yang juga calon Barisan Nasional bagi PRK itu bertujuan untuk membunuh karakter timbalan presiden Umno itu.

Streram berkata fokusnya untuk menyelesaikan masalah pengundi di DUN berkenaan tidak akan terganggu di sebalik dakwaan itu.

PRK DUN Rantau, Sabtu ini menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Streram, Mohamad dan 2 calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.