Suruh Najib datang Parlimen, saya jawab isu Felda, kata Azmin

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali membidas Najib Razak berkenaan isu Felda, mengatakan bekas perdana menteri itu sepatutnya berdebat di Dewan Rakyat dan bukan bermain Facebook.

Azmin meminta para penyokong menyuruh Najib ke Parlimen supaya isu berkaitan Felda terjawab.

“Dia ahli Parlimen, kena duduk Parlimen. Dia bukan ahli Facebook, dia bukan ahli Twitter. Suruh dia datang Parlimen petang ini, saya akan respon kepada Najib,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Azmin berkata demikian selepas Najib mendesak kerajaan mendedahkan kandungan perjanjian antara Felda dan syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TBK (EHP).

Najib menjelaskan perjanjian itu mengandungi “put option” yang membolehkan Felda menjual balik sahamnya kepada EHP pada harga belian asal dengan caj faedah tahunan 6% ditanggung EHP.

Beliau berkata pendedahan itu menyangkal dakwaan Felda akan rugi membeli EHP.

Terdahulu, pembentangan kertas putih “ke arah kelestarian” Felda hari ini mendedahkan kepincangan pengurusan pentadbiran lama, termasuk pembabitan Najib dalam urusan pelaburan yang merugikan entiti itu.

Azmin berkata, hasil audit forensik menunjukkan kerugian atau penjejasan nilai aset berjumlah RM2.2 bilion bagi 8 transaksi urus niaga yang disiasat, iaitu 50% daripada nilai pelaburan asal.

Kedudukan kewangan Felda, kata Azmin, bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Lagi laporan polis

Dalam pada itu, Azmin berkata Felda sedang meneliti mengenai audit forensik ke atas Felda dan banyak nama-nama muncul dalam siasatan itu.

Menteri berkata laporan polis akan dibuat supaya siasatan boleh dijalankan.

“Tindakan harus diambil kerana ini bukan saja kecuaian biasa, tetapi satu jenayah yang libatkan berbilion ringgit wang rakyat,” katanya.

Azmin berkata nama yang tidak disebut dalam kertas putih di luar bidang kuasanya untuk diambil tindakan.

EHP bantah jual kepentingan

Ditanya pemberita adalah Felda akan melaksanakan “put option” yang terkandung dalam perjanjian antara Felda dan EHP, Azmin berkata Felda mengeluarkan satu notis kepada syarikat Indonesia itu pada awal tahun ini untuk melaksanakan pilihan itu.

Namun, beliau dimaklumkan EHP mahu mencabar keputusan itu dan mahu ia melalui penimbangtaraan.

“Kita akan lalui proses itu,” katanya.