Tiada perisik Israel di Bukit Aman, hanya seorang jurutera, kata timbalan menteri

(Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman hari ini menafikan terdapat perisik Israel di Bukit Aman, dakwaan dibuat Anwar Ibrahim ketika menjadi pemimpin pembangkang.

Anwar yang kini ahli Parlimen Port Dickson berkata, dakwaan itu disahkan Cawangan Khas ketika itu.

Azis berkata, individu yang dimaksudkan itu ialah seorang jurutera, tetapi warga Israel itu ialah pakar sistem komunikasi yang dipasang di Bukit Aman pada 2012.

“Beliau ialah pakar teknikal yang dihantar sebuah syarikat berpangkalan di Singapura, bukan hanya untuk menyelenggara sistem itu, tetapi juga memberi latihan seperti tertakluk dalam perjanjian ketika pembelian sistem komunikasi itu.

“Beliau bukan seorang ejen, tetapi pakar kejuruteraan yang dihantar syarikat memasang sistem itu,” katanya sambil menambah seorang wakil polis hadir ketika pemasangan sistem itu.

Azis (Warisan-Sepanggar) berkata demikian kepada Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang mendakwa individu itu berada dalam bilik pelayan komputer Bukit Aman ketika sistem komunikasi dinaik taraf.

Beliau bertanya jika dakwaan itu betul dan bagaimana individu itu masuk ke Bukit Aman.

Anwar membuat dakwaan itu 9 tahun lalu, ketika menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh. Beliau turut mengemukakan dokumen mengenai syarikat terbabit yang didakwa berpangkalan di Israel.

Katanya, ia membuktikan negara sudah dijual kepada ejen asing.

Soalan awal Marzuk mengenai berapa ramai warga Israel memasuki Malaysia dan untuk tujuan apa, Azis berkata, Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat.

Katanya, sebarang perjalanan dari dan ke Israel dilarang sama sekali, kecuali dengan kebenaran khas untuk tujuan khusus.

Terdahulu, beliau berkata, warga Israel dibenarkan memasuki negara untuk persidangan anjuran badan antarabangsa. Ia mengambil kira keahlian Israel dalam badan terbabit dan hubungan rakyat, di mana warganegara Malaysia dan Israel yang bekerja di syarikat multinasional (MNC) dibenarkan menghadiri mesyuarat, latihan serta lawatan kerja.

“Asas bagi pertimbangan kemasukan ialah ia memanfaatkan negara dari segi politik, ekonomi, teknologi, pendidikan, pertahanan, sosial dan pembuatan.

“Kementerian turut menerima permohonan rakyat Malaysia yang mahu melawat tapak suci Baitulmaqdis yang perlu melalui pusat pemeriksaan keselamatan Israel untuk ke sana.”

Antara 2016 hingga Mac 2019, katanya, 105 warga Israel dibenarkan memasuki negara ini.

Pada 2016, 33 warga Israel dibenarkan memasuki Malaysia atas pertimbangan perdagangan MNC untuk menghadiri mesyuarat dan memberi latihan kepada pekerja Malaysia mengenai kejuruteraan mikrocip.

Pada 2017, katanya, 35 warga Israel dibenarkan ke negara ini – 18 atas urusan berkaitan perdagangan MNC dan 17 menghadiri program, mesyuarat serta persidangan antarabangsa.

Tahun lalu, 34 warga Israel memasuki Malaysia – 32 atas urusan perdagangan sedia ada dan baki 2 menghadiri persidangan antarabangsa.

“Tahun ini, hanya 3 warga Israel dibenarkan atas dasar hubungan perdagangan sedia ada, Tiada lagi kebenaran diberikan kepada warga Israel untuk menghadiri program, mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

“Ini sejajar dasar baru kerajaan tidak lagi membenarkan wakil Israel memasuki Malaysia untuk menghadiri persidangan antarabangsa, mesyuarat dan program anjuran badan antarabangsa.”

Azis berkata, kementeriannya memberi kebenaran kepada 7,870 orang melawat Baitulmaqdis sejak 2016 hingga tahun ini, dengan 2,000 permohonan diluluskan pada 2016, 2,186 pada 2017, 3,183 pada 2018 dan 501 setakat Mac 2019.