Timbalan perbendaharaan AS mulakan tugas presiden Bank Dunia

David Malpass dipilih Presiden Donald Trump awal Februari lalu sebagai calon untuk jawatan presiden Bank Dunia. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: David Malpass pada Selasa memulakan tugasnya selepas dilantik sebagai presiden Bank Dunia yang baru, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau merupakan presiden yang ke-13 untuk tempoh 5 tahun berkuatkuasa 9 April.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah dan gabenor kerana memilih saya,” katanya kepada pemberita.

Bekas penolong setiausaha hal ehwal antarabangsa di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat itu dipilih oleh Presiden Donald Trump pada awal Februari sebagai calon untuk menjawat jawatan itu, berikutan peletakan jawatan, Jim Yong Kim.

Pemilihan Malpass, 63, menerima kelulusan daripada lembaga Bank Dunia.

“Memang ada misi yang jelas untuk bank ini: membasmi kemiskinan dan berkongsi kemakmuran. Matlamat ini perlu disegerakan dan saya fikir kita perlu satu fokus yang jelas untuk mencapai hasilnya,” katanya.

Malpass turut mengetengahkan beberapa cabaran seperti perubahan cuaca, peranan wanita dalam pertumbuhan ekonomi dan keperluan untuk mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh.

“Bank mempunyai pelbagai sumber, ia mempunyai kakitangan, ia memiliki kemampuan untuk memberikan impak yang sebenar,” katanya.

Calon-calon yang dipilih oleh Amerika Syarikat, pemegang saham terbesar Bank Dunia dengan 16% kuasa mengundi, semuanya berjaya menduduki kerusi berkenaan sejak institusi itu ditubuhkan pada 1944.

Malpass, yang sebelum ini pernah mengkritik Bank Dunia, mencetuskan curiga di kalangan komuniti pembangunan antarabangsa disebabkan kesangsian beliau terhadap peranan serta perikatan pelbagai negara dalam melaksanakan misi bank itu.