Tunjuk mana berbilion-bilion duit Felda, kata Dr M

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dalam satu kejadian luar biasa, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencelah ucapan seorang timbalan menteri yang sedang bercakap mengenai Kertas Putis Felda, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) sedang pertahankan rekod prestasi pentadbiran lepas dalam menguruskan agensi pembangunan tanah, memberitahu Parlimen bagaimana Felda secara konsisten menjana keuntungan daripada 2012 hingga 2017.

Ahmad berkata sayap pelaburan Felda, Felda Global Ventures Holdings (FGV) meraih keuntungan antara RM400 juta dan RM1.5 bilion semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Bagaimanapun, FGV rugi RM1.04 bilion selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Beliau seterusnya memberikan cadangan bagaimana untuk menghidupkan kembali agensi itu, tetapi perdana menteri bangun untuk mencelah.

Ahmad serta-merta memberi laluan, sambil berkata hari ini hari bersejarah.

Mahathir memulakan hujah dengan meluahkan rasa “kagum” dengan “cerita dongeng” daripada Ahmad, dan bertanyakan mengapa cadangan-cadangan itu tidak diberikan kepada Najib sebelum ini.

“Yang saya hairan kenapa dia tidak bagi tahu pada ‘Bossku’ lama dia, supaya hari ini kita tidak ada masalah, dan tak perlu Kertas Putih, semua bersih belaka?

“Tapi penyangak-penyangak ini telah meninggalkan bekas-bekas mereka dan kitalah yang perlu bersihkan.

“Tuan-tuan dan puan-puan, begitu banyak untung FGV ini, berbilion-bilion…tolong tunjuk di mana duit itu berada? Terima kasih,” katanya.

Ahmad mempertahankan kenyataannya, mengatakan angka-angka tersebut benar, dan perdana menteri boleh semak.