2 maut, 16 cedera bangunan Central World Bangkok terbakar

Asap tebal menyelubungi bangunan Central Bangkok semasa ratusan pengunjung serta penghuni bangunan bergegas keluar. (Sumber polis Thailand)

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 2 terbunuh dan 16 lagi tercedera dalam satu kebakaran di sebuah bangunan “Central World”, semalam.

Antara yang musnah dalam kebakaran pada pukul 5.40 petang waktu tempatan di bangunan itu termasuk sebuah pusat membeli belah, hotel dan menara pejabat berhampiran persimpangan Ratchaprasong di daerah Pathumwan.

Gambar dan klip video yang tular di media sosial menunjukkan asap tebal menyelubungi bangunan itu semasa ratusan pengunjung serta penghuni bangunan bergegas keluar, dan ada juga klip video yang menunjukkan seorang lelaki terjun daripada bangunan berkenaan untuk menyelamatkan diri.

Laporan awal mengatakan kebakaran bermula di bilik stor dokumen di tingkat 8 hotel.

Gabenor Bangkok Assawin Khwanmueng yang bergegas ke tempat kejadian berkata seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi di Hospital Chulalongkorn, dan kedua-dua mereka dipercayai terjun keluar dari bangunan itu untuk menyelamatkan diri semasa kejadian.

Sekurang-kurangnya 16 terdecera akibat terhidup asap, dan semua mangsa menerima rawatan di Police General Hospital dan Chulalongkorn Hospital.

“Mereka sedang dipantau rapi oleh para doktor di hospital, kita perlu menunggu doktor untuk mengesahkan kecederaan dan keadaan terkini mangsa,” katanya pada sidang media.

Api dapat dikawal pada kira-kira pukul 6.10 petang.

Sementara itu syarikat pengendali bangunan Central World; Central Pattana Plc dalam kenyataan malam tadi berkata keadaan di persekitaran bangunan itu kembali normal.