Abu Kassim: Semua pihak setuju Akta Perkhidmatan Awam baru

Ketua Pengarah GIACC Abu Kassim Mohamed.

KUALA LUMPUR: Segala perbezaan pendapat antara beberapa menteri dan pihak terlibat dalam proses menetapkan klausa bagi Akta Perkhidmatan Awam (Public Service Act) telah ditangani dan satu persetujuan mengenai dicapai.

Ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed berkata, akta berkenaan akan melalui proses selanjutkan, dikemukakan semula kepada mesyuarat Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Semuanya sudah disatupadukan, tiada masalah. Benda itu semua telah diselesaikan. Kita akan bawa balik kepada Kabinet dan ia akan lalui proses Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel bagi program ‘INTAN Leaders Talk Series (Ethics and Integrity) yang bertajuk ‘National Anti-Corruption Plan (NACP): The Way Forward in Malaysia’, di auditorium Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai tempoh akta baru itu akan dikemukakan semula kepada Kabinet.

Pada 31 Mac lepas, media tempatan melaporkan beberapa menteri menyuarakan bantahan terhadap terma dalam Akta Perkhidmatan Awam yang dijangka dibentangkan di Parlimen, Julai ini.

Ditanya apakah antara isi kandungan atau draf akta itu sehingga mengakibatkan berlakunya percanggahan antara pihak tertentu, Abu Kassim berkata, “selepas proses ini habis, kita akan beritahu apa sebenarnya kandungan itu.”

Akta itu diperkenalkan dengan tujuan mewujudkan pemisahan kuasa antara penjawat awam dan pentadbiran politik bagi meningkatkan ketelusan dan integriti dalam kalangan penjawat awam serta urus tadbir yang baik.

INTAN Leaders Talk Series (Ethics and Integrity) merupakan wacana perbincangan bagi perkongsian perspektif dan pengalaman antara penjawat awam dan kumpulan berkepentingan berkaitan ranah (domain) etika dan integriti.

Program itu dilaksanakan sempena 60 tahun penubuhan INTAN dan dihadiri seramai 350 penjawat awam terdiri daripada agensi persekutuan dan negeri serta badan berkanun.