AS senarai Malaysia negara berisiko diculik, dijadikan tebusan

Jabatan Negara AS mengeluarkan senarai 35 negara yang dianggap berisiko kepada rakyat negara itu. (Gambar fail)

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memasukkan Malaysia ke dalam senarai 35 negara yang berisiko diculik dan dijadikan tebusan.

Malaysia diberikan label “K” bagi menunjukkan ia termasuk dalam kategori negara “berisiko tinggi” yang merangkumi kebanyakan negara Afrika dan Timur Tengah.

CNN memetik Jabatan Negara AS berkata, senarai tersebut akan “memaklumkan dengan jelas kepada rakyat AS tentang risiko penculikan dan dijadikan tebusan oleh penjenayah dan pengganas di seluruh dunia”.

Negara lain yang termasuk dalam senarai tersebut ialah Afghanistan, Algeria, Angola, Bangladesh, Burkina Faso, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Colombia, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Haiti, Iran, Iraq, Kenya, Lebanon, Libya, Mali, Mexico, Niger, Nigeria, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Rusia, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Syria, Trinidad dan Tobago, Turki, Uganda, Ukraine timur yang dikuasai Rusia, Venezuela dan Yemen.

Senarai itu dikeluarkan berikutan penculikan pelancong AS, Kimberly Sue Endicott dan pemandu safari beliau di Taman Negara Ratu Elizabeth di Uganda. Mereka ditahan selama 5 hari sebelum dibebaskan oleh pasukan keselamatan.