Brexit: EU beri UK tempoh hingga 31 Oktober

Perdana Menteri Britain Theresa May minggu lepas meminta lanjutan sehingga 30 Jun dalam sepucuk surat kepada Tusk bagi mendapatkan lanjutan singkat bagi tarikh keluar dijadualkan 12 April. (Gambar AFP)

LONDON: Para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada lewat Rabu bersetuju memberikan lanjutan kepada United Kingdom (UK) berhubung isu Brexit sehingga akhir Oktober dengan satu semakan semula pada Jun, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Presiden Majlis Eropah Donald Tusk berkata, menerusi akaun Twitter bahawa 27 negara anggota EU (EU27) bersetuju mengenai lanjutan itu di sidang kemuncak tergempar Brexit.

“EU27 mempersetujui satu lanjutan di bawah Perkara 50.

“Saya kini akan bertemu PM (Perdana Menteri) Theresa May bagi mendapatkan persetujuan kerajaan UK,” menurut Tusk.

Perdana Menteri Malta Joseph Muscat kemudian mengesahkan penangguhan itu akan dibenarkan sehingga 31 Okt.

“Satu lanjutan Brexit sehingga 31 Okt adalah wajar kerana ia memberi masa kepada UK untuk memilih haluannya. Semakan semula pada Jun akan membenarkan EUCO (Majlis Eropah) mengambil maklum mengenai situasi itu,” katanya.

Perdana Menteri Britain Theresa May minggu lepas meminta lanjutan sehingga 30 Jun dalam sepucuk surat kepada Tusk, dalam usaha mendapatkan tempoh lanjutan singkat kepada tarikh keluar yang dijadualkan pada 12 April.