Diesel, tongkang bernilai RM1 juta dirampas di Miri

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan tongkang serta minyak diesel dianggarkan RM1 juta. (Gambar fail).

MIRI: Petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 80,000 liter minyak diesel dan menahan seorang lelaki yang disyaki menyimpan serta menjual minyak diesel tanpa permit yang sah, dalam satu serbuan di Global Dockyard, Jalan Kuala Baram Miri, semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri Tan Hiap Seng berkata, pemilik tongkang yang berumur 54 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 2.40 petang, dan tongkangnya turut dirampas dalam serbuan itu.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tongkang berkenaan. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan tongkang serta minyak diesel dianggarkan RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan bersama dengan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri, lelaki berkenaan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan dengan pemililkan minyak diesel berkenaan.

“Saya memberi amaran kepada semua pihak berkaitan supaya menghentikan penyeludupan minyak diesel kerana PGA akan meningkatkan aktiviti risikan, tangkapan serta rampasan, dan mereka yang ditangkap akan didakwa ke mahkamah,” katanya sambil menambah suspek serta barang rampasan diserahkan kepada KPDNHEP Miri.