ECRL mungkin disambung semula, pengumuman dijangka esok

Putrajaya menggantung projek ECRL pada Julai 2018 disebabkan kosnya terlalu tinggi.

PETALING JAYA: Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang digantung sejak Julai 2018, mungkin disambung semula dengan pengumuman dijangka dibuat di Beijing esok, kata satu sumber yang berkait rapat dengan projek itu.

Sumber itu berkata, sepasukan pegawai peringkat tinggi kini berada di Beijing untuk memuktamadkan rundingan bagi mengurangkan kos projek itu.

“Setakat ini, ia boleh dilaksanakan semula, jika semua butiran dipersetujui kedua-dua pihak dalam pengumuman bersama yang akan dibuat esok,” katanya kepada FMT.

Sumber itu berkata, rundingan itu di peringkat akhir dan isu utama ialah kos projek itu yang dibincangkan kedua-dua pihak sebelum ini.

Katanya, “jika semua berjalan lancar”, Dr Mahathir Mohamad dijangka melawat China untuk memeterai perjanjian itu, tetapi tarikh hanya akan ditentukan kemudian.

Isnin lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dilaporkan berharap rundingan akan dimuktamadkan sebelum perdana menteri ke China untuk menghadiri Forum “Belt and Road” yang dijadualkan bermula 26 April ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini membayangkan rundingan berjalan lancar dan jajaran mungkin diubah untuk memanfaatkan Negeri Sembilan.

Katanya, projek itu akan diteruskan jika kos pembinaan boleh dikurangkan daripada RM66 bilion kepada RM35 bilion.

Selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan menggantung projek sepanjang 688km itu disebabkan kosnya terlalu tinggi.

Projek ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Kota Bharu, Kelantan dilancarkan pada Ogos 2017 dan dijadualkan siap pada 2024.

Pada 3 Mac lalu, Mahathir dilaporkan berkata, Putrajaya membayar RM200 juta, iaitu faedah bagi hutang berjumlah RM55 bilion kepada China Communications Construction Company selaku kontraktor utama ECRL.