Gagal pinda RUU Perlembagaan bukan pengakhiran, kata bekas KM Sabah

Ahli politik digesa untuk menjelaskan kebaikan dan keburukan pindaan Perkara 1(2) dalam mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Harris Salleh berkata kegagalan meminda rang undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak bukanlah pengakhiran kerana ia akan dibentangkan di Parlimen sekali lagi.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan ahli politik dari kedua-dua pihak di Sabah dan Sarawak mengadakan perbincangan dan membuat kertas putih untuk menjelaskan isu itu dan menggariskan pro dan kontra bagi mengembalikan perkataan asal Perkara 1(2).

Katanya, kertas putih itu kemudiannya akan dijelaskan kepada orang ramai supaya mereka memahami isu tersebut.

“Sekarang, saya dengar orang bercakap tentang pindaan itu, tetapi saya tidak fikir mereka tahu apa maksudnya. Ahli politik perlu menghuraikan alasan untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya kepada FMT.

“Buat masa ini, tiada ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak bercakap mengenai kebaikan dan keburukannya. Mereka bercakap tentang perkongsian yang sama tapi mereka tidak mengatakan apakah itu.

“Adakah perkongsian sama bermakna kita mempunyai sekeping kek yang besar? Adakah dana dibahagikan kepada 3 bahagian? Apakah kepentingannya?”

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019, bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dengan Semenanjung, tidak lulus di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Bekas ketua menteri Sabah, Harris Salleh.

Kerajaan gagal memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali.

Harris berkata RUU itu gagal akibat isu itu dipolitikkan dan kerajaan tergesa-gesa membuat pindaan tersebut.

“Saya fikir ahli Parlimen pembangkang mahu menggagalkan kerajaan persekutuan dan menunjukkan kerajaan tidak mempunyai kekuatan yang mereka sangkakan.

“Tetapi alasan yang lebih penting bagi kegagalan ini adalah kekeliruan mengenai bagaimana pindaan itu akan memberi manfaat kepada rakyat di Borneo dan juga di Tanah Melayu,” katanya kepada FMT.

Malah sebelum pindaan 1976 kepada Perkara 1(2) yang ditangani RUU itu, Sabah dan Sarawak ditadbir sebagai antara 13 negeri dalam persekutuan tersebut, katanya.

Kebanyakan masa, katanya, kerajaan persekutuan memang adil kepada Sabah.

“Selebihnya dilakukan untuk kepentingan negara. Dan tidak ada yang 100% sempurna di dunia ini,” katanya.

Beliau menafikan gesaan Sabah dan Sarawak diberikan lebih banyak kerusi Parlimen, mengatakan Semenanjung layak mendapat sebahagian besar kerusi sebagai majoriti penduduknya di Malaysia Barat.

Beliau juga berkata tidak praktikal untuk meningkatkan bilangan kerusi Parlimen kerana prinsip perwakilan harus ditegakkan.

“Apabila anda menuntut sesuatu, anda mesti menggunakan kepala anda. Cara saya melihatnya, Tanah Melayu boleh kekal sendiri walaupun tanpa Sabah dan Sarawak.

“Mereka bersedia untuk itu. Mereka hampir membangun sepenuhnya dan 80% hasil negara dikumpulkan dari Tanah Melayu. Ia diapit di antara 2 negara kaya, iaitu Thailand dan Singapura, yang akan menyokong ekonomi.

“Apa yang kita ada di Sabah? Kita ada Kalimantan dan Zamboanga. Saya fikir bagi Tanah Melayu, kita menambah imej dan prestij mereka tetapi selain itu, ia menjadi beban bagi mereka untuk membangunkan Sabah dan Sarawak,” katanya.