Kelantan tarik gelaran ‘Datuk’ bekas ketua TH Azeez Rahim

Abdul Azeez Abdul Rahim menerima darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia pada 2016.

PETALING JAYA: Istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran “Datuk” daripada bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim, berkuat kuasa 2 April lalu.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Nazran Muhammad mengesahkan perkara itu ketika dihubungi FMT dan berkata, surat penarikan balik gelaran itu dihantar ke alamat peribadi ahli Parlimen Baling itu di Bandar Sunway, Selangor, pada hari sama.

“Datuk Seri Panglima juga dikehendaki mengembalikan ketandaan darjah kebesaran berkaitan kepada Datuk Perwira Raja, pengelola istana, pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar di Kota Bharu dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan semakan di laman web penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat, Azeez menerima darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia pada November 2016, sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V ke-47.

Azeez masih memiliki Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang, Darjah Cemerlang Seri Melaka, Darjah Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dari Kedah dan Panglima Jasa Negara.

Nazran berkata, Azeez tidak boleh menggunakan gelaran “Datuk”, sebarang kuasa atau perkara berkaitan darjah kebesaran itu atau beliau boleh dipenjara tidak kurang 3 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 berdasarkan Enakmen Lambang dan Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) (Pindaan) 2015 yang diwartakan kerajaan negeri pada 27 Ogos 2015.

Di bawah enakmen itu, polis diberi kuasa memasuki premis dan menggeledah serta menyita sebarang keterangan atau barang kes yang disyaki berkait kesalahan itu.

Pada 16 Januari lalu, Azeez mengaku tidak bersalah terhadap 9 pertuduhan pengubahan wang haram dan 3 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta bagi projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah, antara Disember 2010 dan 10 April 2018.

Azeez dibenarkan diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin dan diarah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.