Johor sebahagian Malaysia, kata Dr M dalam isu lantik MB

Dr Mahathir Mohamad menghadiri Malaysia Autoshow 2019 di Serdang, hari ini.

SERDANG: Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak timbul soal campur tangan dalam urusan Johor seperti dinyatakan Sultan Johor semalam, ketika pertikaian antara perdana menteri dan kerabat diraja negeri itu berterusan berhubung kuasa melantik menteri besar baru.

“Saya rasa Johor sebahagian daripada negara ini, kecuali ia negara asing. Saya tidak masuk campur urusan dalaman negara asing,” katanya pada pameran Malaysia Autoshow 2019 di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa “pihak tertentu” tidak campur tangan dalam urusan negeri itu.

“Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik, sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan,” tulisnya di Facebook semalam.

Ia selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik beberapa catatan dalam media sosial, yang istana mempunyai hak mutlak dalam pelantikan menteri besar baru menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan Isnin lalu.

Mahathir turut mengulangi dakwaannya mengenai cubaan melaga-lagakan kerajaan dengan raja hari ini.

Katanya, kritikan terhadap keputusan awal Putrajaya meratifikasi Statut Rom sekadar alasan untuk menjatuhkan kerajaan.

“Tetapi, ia tidak akan berjaya. Ia akan gagal. Mereka boleh cuba nasib mereka. Kerajaan ini dipilih secara demokrasi, dipilih oleh rakyat.

“Anda tidak boleh menjatuhkan kerajaan, kecuali anda nak gugurkan demokrasi dan menjadi kleptokrasi atau autokrasi.”

Parti kalah perlu diam

Sementara itu, Mahathir yang juga pengerusi PPBM menolak cadangan Ketua Umno Johor, Hasni Mohamed untuk melantik Muhyiddin Yassin sebagai menteri besar Johor.

“Parti yang menang akan menamakan menteri besar, bukan yang kalah. Yang kalah diam-diam,” katanya sambil menambah partinya sedang mengenal pasti calon lain untuk jawatan itu.

Muhyiddin yang kini ialah menteri dalam negeri, pernah menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995 ketika Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri.

Timbul spekulasi PPBM akan melantik Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal atau Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang untuk menggantikan Osman sebagai menteri besar Johor.

Kedua-duanya ialah exco Johor.