Juruukur temui tulang dipercayai milik wanita di Uniten

Pemerhatian awal polis mendapati kemungkinan tulang itu berada di situ kira-kira setahun lamanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. (Gambar uniten.edu.my)

SEPANG: Tulang manusia dipercayai milik seorang wanita ditemukan oleh seorang juruukur yang sedang melakukan kerja-kerja mengukur tanah di sekitar kawasan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang Abdul Aziz Ali berkata, juruukur itu bersama beberapa rakannya sedang mengukur kawasan berkenaan apabila dia terlihat terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu “check point”.

“Dia kemudiannya menghampirinya dan menjumpai beberapa tulang besar yang dibalut dengan selimut yang disyaki tulang manusia,” katanya kepada media ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Menurutnya, tempat kejadian merupakan sebuah kawasan hutan ladang getah terbiar dalam kawasan universiti itu, kira-kira 1 kilometer dari padang ragbi dan 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang eletrik.

Beliau berkata, beberapa barangan lain ditemui di tempat kejadian termasuk cincin, gelang, jaket berwana gelap, tali pinggang serta pakaian dalam; namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui. dan

Berdasarkan pemerhatian awal, beliau tidak menolak kemungkinan tulang itu sudah berada di tempat berkenaan kira-kira setahun lamanya sebelum ditemui hari ini.

Abdul Aziz seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu untuk tampil bagi membantu siasatan, atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat, Wan Azirul di Ibupejabat Polis Daerah Sepang dengan menelefon 03-87774222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.