KDN bentuk jawatankuasa khas siasat laporan inkuiri Suhakam, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, beliau terlebih dahulu perlu mendapatkan panduan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum mengemukakan cadangan pembentukan jawatankuasa khas itu kepada Kabinet.

SUBANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini berkata, ia sedang menmbangkan kemungkinan membentuk satu jawatankuasa khas untuk meneliti laporan berhubung kehilangan paksa 2 individu seperti dilaporkan oleh inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu akan diambil kerana kementerian memandang serius laporan tersebut.

“Saya tidak ragu-ragu mengatakan perkara ini sesuatu yang penting kerana ia bukan sahaja menyentuh soal integriti dan kredibiliti polis atau Cawangan Khas, tetapi lebih penting ke mana mereka berdua ini pergi?

“Ia juga dianggap penting dari sudut kemanusiaan,” katanya pada satu sidang media selepas lawatan kerja kementerian ke Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Stetsen Udara Maritim, Subang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiuasaha KDN, Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah APMM, Zulkifli Abu Bakar.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Bagaimanapun kenyataan itu dibuat sewaktu KDN masih belum menerima laporan rasmi daripada Suhakam mengenai hasil inkuiri awam berhubung kehilangan Koh dan Amri yang dijalankan oleh suruhanjaya tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau berharap kehilangan 2 individu itu dapat diselesaikan dan dirungkaikan dengan sebaiknya.

Katanya, laporan tu juga mengambil kira kebimbangan ahli keluarga yang terlibat.

“Keluarga mereka sudah tentulah menunggu-nunggu kepulangan mereka. Sama ada masih hidup atau tidak,” katanya.

Muhyiddin berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu mendapatkan panduan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum mengemukakan cadangan pembentukan jawatankuasa khas itu ke peringkat Kabinet.

“Selain itu persetujuan daripada Kabinet juga perlu diperolehi untuk menamakan pengerusi dan ahli jawatankuasa tersebut,” katanya.

Ketika ditanya mengenai maklumat terkini mengenai kehilangan saksi dalam kes Amri, Saiful Bahari, yang gagal hadir ke inkuiri Suhakam, Muhyiddin berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Beliau berkata, sekiranya laporan polis sudah dibuat mengenai “kehilangan” Saiful, siasatan harus dilakukan segera.

“Saya tak tahu sejauh mana siasatan dilaksanakan, tetapi dalam KDN, kita menandang berat perkara seperti ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Amri, David Morais membangkitkan soalan mengenai keberadaan Saiful, pemilik kereta Toyota Vios berwarna emas yang dilihat meninjau rumah Amri, yang kini hilang tanpa sebarang jejak.

Morais berkata, Saiful yang merupakan pekerja kontrak di polis Cawangan Khas di Kuala Lumpur, berhenti pergi ke pejabat pada lewat 2017.

Awal bulan ini, panel inkuiri Suhakam berkata, Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan Raymond yang dilihat diculik beberapa lelaki pada Februari 2017.

Ia juga menyalahkan unit sama atas kehilangan aktivis yang berpangkalan di Perlis, Amri pada lewat 2016.

“Panel sebulat suara berpendapat Raymond Koh merupakan mangsa kehilangan paksa,” kata pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai.

“Beliau diculik ejen negara, iaitu Cawangan Khas, Bukit Aman.”